suria

27 perkhidmatan subsektor diliberalisasikan - Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan meliberalisasikan serta-merta 27 perkhidmatan subsektor tanpa syarat ekuiti bagi bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan serta komputer dan perkhidmatan yang berkaitan dengannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, kerajaan akan terus meliberalisasikan perkhidmatan subsektor lain secara berterusan kerana perkhidmatan disasarkan menjadi sektor pertumbuhan baru ekonomi.

Liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan akan diumumkan minggu depan.

"Tak ada sebarang syarat ekuiti. Linberalisasi ini akan mencetuskan pelaburan yang semakin meningkat dan menjadikan sektor perkhidmatan ini lebih kompetitif," katanya pada taklimat media mengenai liberalisasi sektor perkhidmatan.

Najib berkata, inisiatif itu tidak akan mendatangkan kesan buruk terhadap industri perkhidmatan domestik kerana kerajaan akan terus menyokong industri dalam pembangunan kapasiti dan dalam pembukaan pasaran eksport.

"Liberalisasi sektor perkhidmatan dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk menarik pelaburan, teknologi dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi," kata Najib.

Sebagai tambahan kepada inisiatif itu, lima firma guaman asing akan dibenarkan memberi perkhidmatan dalam bidang kewangan Islam tempatan, sebagai usaha untuk membangunkan negara sebagai hab kewangan Islam Antarabangsa.

Bidang lain yang tidak termasuk dalam inisiatif baru yang diumumkan itu ialah pelaburan dalam perkhidmatan kewangan, perkhidmatan udara, utiliti, Koridor Pembangunan Ekonomi, Koridor Raya Multimedia dan syarikat berstatus Bionexus selain dagangan pengedaran.

Najib berkata liberalisasi itu adalah sebahagian daripada komitmen Malaysia terhadap Perjanjian ASEAN mengenai sektor perkhidmatan.

Mengenai pengumuman liberaliasi perkhidmatan kewangan, Najib berkata, ia juga merupakan sebahagian daripada Perjanjian ASEAN, meskipun perlaksanaanya terserah kepada negara secara individu.

"Sektor perkhidmatan merupakan komponen penting dalam ekonomi negara, dengan menyumbang 55 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2008, dengan 47.6 peratus daripadanya disumbangkan oleh perkhidmatan bukan kerajaan," kata Najib.

Perdana Menteri menambah bahawa sektor itu menyumbang 57 peratus daripada jumlah pekerjaan di Malaysia.

Pelaburan Malaysia yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan berjumlah RM50.1 bilion pada 2008, melebihi sasaran pelaburan sebanyak RM45.8 bilion setahun seperti dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga, kata Najib.

Dari segi eksport tahun lepas, sektor perkhidmatan menyumbang RM102.1 bilion manakala import sebanyak RM99.8 bilion, katanya.

Najib berkata pada 2007, buat pertama kalinya Malaysia merekodkan lebihan dagangan dalam perkhidmatan dan berlanjutkan kepada 2008, dan menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia, Malaysia adalah antara 30 pengeksport utama perkhidmatan di dunia.

Artikel Berikut

Artikel Lain