suria

Tidak wajar Nik Aziz pertikai DEB - Khairy

SEREMBAN: Kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz kononnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) seolah-olah telah mengenepikan hak kaum lain yang bukan Melayu adalah kurang wajar, kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. Beliau berkata, DEB merupakan dasar penting dalam pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum di negara ini. "Saya rasa kenyataan Nik Aziz itu kurang tepat, mungkin beliau disalah maklum oleh para pegawainya," katanya kepada pemberita di sini, semalam selepas menyampaikan sumbangan wang tunai untuk 31 keluarga yang dilanda banjir kilat semalam di Kampung Paroi.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan semalam melahirkan rasa tidak puas hati kerana perkataan "bumiputera" dalam DEB seolah-olah memberi petunjuk bahawa kaumkaum lain di negara ini telah diketepikan.

Khairy yang juga anggota Parlimen Rembau berkata DEB tidak pernah mengasingkan pemberian bantuan kepada orang bukan Melayu dan pendekatan yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini telah terbukti membantu semua tanpa mengira kaum.

Dalam pada itu, Khairy juga mengingatkan pembangkang supaya tidak lagi mempertikaikan perkara-perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan negara seperti berkaitan institusi raja, pembentukan kerajaan dan hak keistimewaan bumiputera.

"Saya nak beri amaran kepada pembangkang, jangan tiupkan sentimen perkauman, jangan bertindak dengan satu cara yang tidak bertanggungjawab...kita dalam BN hendak jaga keharmonian negara," katanya.

Khairy turut kesal dengan kenyataan anggota Dewan Undangan Negeri Skudai Dr Boo Cheng Hau di Dewan Undangan Negeri Johor minggu lepas bahawa amalan "bumiputeraisme' atau pemikiran membantu golongan Bumiputera yang diamalkan di negeri itu menyamai ideologi aparteid.

"Kita (kerajaan BN) tidak pernah tindas atau menzalimi bangsa-bangsa lain, awalnya dulu kita memberi keutamaan kepada kaum bumiputera kerana kaum inilah yang paling miskin ketika itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain