Kes remaja bunuh budak diputuskan 25 Mac - Semasa | mStar

Kes remaja bunuh budak diputuskan 25 Mac

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 25 Mac ini untuk menentukan sama ada seorang remaja yang dikatakan tidak waras ketika membunuh seorang budak lelaki berumur tujuh tahun, dua tahun lepas, perlu menjalani perbicaraan penuh atau perbicaraan ringkas bagi membolehkannya dihantar ke Hospital Bahagia, Perak.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menetapkan tarikh itu setelah mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Azar Irwan Mohd Arifin dan peguam V. Jayamurugan yang mewakili remaja lelaki terbabit yang kini berumur 17 tahun berhubung peruntukan undang-undang yang sepatutnya dipakai bagi prosiding melibatkan pesakit mental.

Sekiranya satu perbicaraan ringkas dibenarkan, kes itu merupakan yang pertama di mana dalam keskes membabitkan tertuduh pesakit mental sebelum ini, satu perbicaraan penuh tetap dijalankan sebelum mahkamah memutuskan untuk menghantar tertuduh menjalani rawatan mental di Hospital Bahagia.

Syed Ahmad Helmy berkata, sebarang kes membabitkan tertuduh yang tidak waras semasa kejadian tetapi kemudian kembali normal dan bersedia untuk dibicarakan, mahkamah sepatutnya membenarkan mereka untuk menjalani perbicaraan ringkas dalam keadaan tertuduh bersedia mengaku bersalah.

Bagi kes remaja lelaki itu, beliau berkata, rekod perubatannya menunjukkan bahawa dia kini menerima rawatan psikiatri selain dibekalkan dengan ubat.

"Dalam kes ini, adalah tidak perlu untuk menjalani perbicaraan penuh sedangkan keputusannya kelak tetap sama, iaitu menghantar dia (remaja lelaki) ke Hospital Bahagia," katanya.

Laporan perubatan remaja lelaki terbabit yang bertarikh 24 April tahun lepas, mengesahkan bahawa dia menghidap penyakit mental yang dinamakan 'skizofrenia' dan berada dalam keadaan tidak waras semasa kejadian serta tidak menyedari akibat atas perbuatannya itu.

Laporan itu juga mengesahkan remaja lelaki terbabit mempunyai masalah pertuturan dan dia kini menerima rawatan psikiatri yang sewajarnya selain dibekalkan dengan ubat. Pada 24 Feb lepas, remaja lelaki itu turut menerima rawatan dan diperiksa oleh pakar psikiatri di Klinik Penjara Kajang.

Terdahulu, dalam hujahannya, Azar Irwan berkata berdasarkan keskes sama yang diputuskan sebelum ini, mahkamah perlu mendengar perbicaraan penuh sebelum membuat sesuatu keputusan membabitkan pesakit mental.

Jayamurugan yang turut bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan berkata, bagi keskes membabitkan tertuduh pesakit mental, walaupun tertuduh mengaku bersalah mahkamah perlu menolak pengakuannya itu dan meneruskan dengan perbicaraan penuh.

Remaja terbabit yang semasa kejadian berumur 15 tahun didakwa membunuh dengan sengaja hingga menyebabkan kematian Muhamad Khairul Nizam Riza Azmi, 7, di bilik utama Tingkat 2, Rumah Kosong, No. 45, Jalan Kiyai Sujak 17, Taman Perangsang, Kapar dekat sini, pada pukul 4.30 petang, 19 Okttober 2007 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada perasaan marah terhadap mangsa yang dikatakan gemar mengganggu ayam belanda yang dipeliharanya di rumah.

Mayat Mohamad Khairulnizam ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah dengan dua kesan tikaman di belakang badannya, satu di atas perut dan satu di pipinya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain