suria

Kes bunuh Bendahari MIC: Tiga lagi ditahan

IPOH: Polis menahan tiga lelaki lagi bagi membantu siasatan kes samun dan bunuh Bendahari MIC Ipoh Barat, N. Sitamparam, 64, di rumahnya di Jalan Wayang, Buntong di sini 12 Jan lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata selepas penahanan lapan suspek pada Jumaat lepas, polis menangkap seorang lagi lelaki yang turut dipercayai boleh membantu dalam siasatan kes berkenaan semalam.

Katanya, lelaki berusia 40an itu ditangkap di sebuah kawasan di Ipoh dan masih ditahan reman bagi siasatan lanjut manakala dua lagi lelaki ditahan ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini. "Kedua-dua lelaki berusia 24 dan 34 tahun itu ditangkap semasa datang ke IPD Ipoh untuk menyerah diri selepas identiti mereka disiarkan dalam akhbar semalam. Mereka akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki berkenaan yang ditemani oleh peguam, Naran Singh tiba di IPD Ipoh untuk menyerah diri kepada polis pada pukul 4.30 petang tadi.

Penahanan tiga lelaki terbabit itu menjadikan jumlah kesemua suspek ditangkap bagi membantu siasatan kes berkenaan kini berjumlah 11 orang.

Pagi tadi, Mahkamah Majistret di sini membenarkan perintah tahanan reman ke atas lima daripada lapan lelaki yang ditangkap pada Jumaat lepas berhubung kes samun dan bunuh Sitamparam dilanjutkan seminggu lagi.

Perintah lanjutan reman sehingga 28 Januari ini dikeluarkan oleh Majistret Sharmila Abdul Samad mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kelima-lima mereka telah ditangkap dalam serbuan berasingan di beberapa tempat di Selangor pada Jumaat lepas dan ditahan reman sehingga semalam.

Difahamkan, tiga lagi lelaki yang turut ditangkap bersama mereka akan dibawa ke mahkamah esok untuk dilanjutkan reman.

Pada 12 Jan, Sitamparam, 64, ditemui mati dengan kesan tetakan di beberapa bahagian badan selepas disamun oleh beberapa lelaki di rumahnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa bersama isterinya yang berusia 60 tahun diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain