suria

Tukang kebun dibebas hukuman penjara rogol anak

PUTRAJAYA:Seorang tukang kebun yang dihukum penjara 20 tahun kerana merogol anak perempuannya dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari in selepas mahkamah memutuskan bahawa perbicaraan bersama atas dua tuduhan rogol di Mahkamah Sesyen tidak sah dan batal.

Panel, terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zaki Tun Azmi (kini Ketua Hakim Negara) dan Hakimhakim Mahkamah Rayuan Datuk James Foong dan K.N.Segara sebulat suara membenarkan rayuan tukang kebun itu dan mengetepikan sabitan dan hukuman atas keduadua tuduhan dikenakan oleh Mahkamah Sesyen.

Mahkamah berpendapat dua kesalahan sebagaimana didakwa, satu berlaku pada Oktober 1992 dan kedua pada 1995, tidak dilakukan dalam ruang masa 12 bulan, oleh itu tidak boleh dibicarakan secara bersama di bawah seksyen 164 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

"Kami ingin menyatakan bahawa rogol itu tidak bersifat kesalahan berterusan tetapi perbuatan persetubuhan haram tunggal. Bila sesuatu tuduhan memprejudis tertuduh daripada mendapatkan perbicaraan adil kerana tidak dapat mengemukakan secara sah satu pembelaan alibi, tuduhan itu mesti dianggap cacat," kata Hakim Segara dalam penghakiman bertulisnya.

Beliau berkata perayu (nama tidak boleh didedah) sepatutnya dibicarakan berasingan atas dua tuduhan itu dan kegagalan ini mengakibatkan ketidaksahan.

"Pada zahir keduadua tuduhan itu, dua kesalahan itu mungkin berlaku dalam perbezaan waktu hingga tiga tahun antara satu sama lain. Jelas terdapat ketiadaan kedekatan waktu antara dua kesalahan itu untuk kesinambungan tindakan dan tujuan bagi menganggap tindakan tersebut dilakukan dalam satu siri yang berkaitan bersama untuk menjadi satu transaksi yang sama.

"Kedua-dua tuduhan tidak tertakluk dalam seksyen 165(1) CPC," katanya. Tukang kebun itu, 67, dituduh merogol anak perempuannya, 13 (ketika itu), di rumah mereka di Kampung Tasek Tambahan, Ampang, Selangor, pada 12.30 tengah hari, pada Oktober 1992 dan antara 1992 dan 1995 di tempat yang sama.

Beliau disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen Ampang dan dihukum penjara 20 tahun berjalan berturutturut bagi keduadua tuduhan.

Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan tetapi membenarkan rayuan terhadap hukuman dan memerintahkan tempoh penjara berjalan serentak; bagaimanapun perintah itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Tidak ada perintah perbicaraan semula dikeluarkan, bagaimanapun Pendakwa Raya boleh menggunakan budibicaranya untuk membuat tuduhan baru terhadap perayu, kata mahkamah.

Perayu diwakili oleh peguam Karpal Singh sementara DPP K.Mangai bertindak bagi pihak pendakwa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain