suria

Polis tumpas sindiket proses dan edar dadah

JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM7.4 juta dan menahan 12 rakyat tempatan dalam enam serbuan di sekitar bandaraya ini, sejak Jumaat hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaakob berkata dalam serbuan itu, polis turut menemui sebuah rumah yang dijadikan makmal mini memproses dan menghasilkan dadah jenis heroin dan syabu.

"Kesemua lapan lelaki dan empat wanita yang ditahan itu dipercayai bergiat aktif di sekitar bandaraya ini sejak tiga bulan lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan, di sini hari ini.

Zainuddin berkata dalam serbuan itu polis merampas 6.4kg syabu, heroin (1.7kg), pil Eramin 5 (3,245 biji), ketamin (3.1kg), ganja (26gram) dan 10gram serbuk ecstasy yang kesemua nilai dadah itu mampu mencecah RM15 juta di pasaran ekoran musim perayaan. Beliau berkata polis turut mengambil tindakan menyita harta kesemua anggota kumpulan itu di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 termasuk wang tunai RM82,300 dan enam kereta yang dianggarkan bernilai RM290,000. Beliau berkata kesemua mereka yang berumur 27 hingga 48 tahun itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu dalam kes lain, polis menahan dua lelaki Aceh dan merampas 8kg ganja bernilai RM169,800 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Saujana, Plentong, di sini dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Roslan Zainudin berkata serbuan dibuat kirakira pukul 12.30 malam selepas mendapat maklumat orang ramai.

Polis merampas sebuah motosikal dari keduadua lelaki itu dan mereka kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain