suria

JPN-SPR sekongkol? "Tidak, tidak, tidak," kata Najib

[DIKEMAS KINI] KUALA TERENGGANU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menafikan dakwaan PAS bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini bersekongkol untuk menyediakan 'pengundi hantu' menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Beliau sekeras-kerasnya menolak dakwaan PAS yang dibuat pagi ini.

"Tiada sama sekali pengundi hantu," kata beliau selepas merasmikan Seminar Kesedaran Alam Sekitar di sini hari ini.

Kata beliau, pembangkang tidak pernah mengatakan tentang kewujudan pengundi hantu jika mereka memenangi pilihan raya.

"Tak ada, tak ada pengundi hantu... setiap kali pilihan raya sibuk pengundi hantu, kalau dia menang senyap.

"Bila dekat pilihan raya timbul lagi, bila dah menang senyap... itu perkara biasa," kata beliau sambil menambah bahawa "itu taktik pembangkang."

Ketika ditanya tentang dakwaan PAS bahawa Pejabat Pendaftaran Negara Terengganu dibuka sehingga pukul 10 malam untuk tujuan tersebut, Najib berkata: "Tidak, tidak, tidak."

Terdahulu pada sebelah pagi tadi, PAS menggesa SPR menggugurkan Datuk Mat Razali Kassim daripada terus menguruskan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu atas alasan Pengurus Pilihan Raya itu telah 'menyalahgunakan' kedudukan beliau untuk mempengaruhi kakitangannya supaya mengundi Barisan Nasional (BN).

Selain itu, PAS juga mendakwa SPR sedang bekerjasama dengan JPN dalam usaha menyediakan 'pengundi hantu' sebelum hari pengundian pada 17 Januari ini.

Dakwaan pembangkang bahawa BN menggunakan jentera dan mempengaruhi kakitangan untuk mengundi calonnya, Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN memberitahu: "Kita tak paksa sesiapa."

Sebaliknya, jelas beliau, adalah menjadi tugas pihaknya sebagai kerajaan untuk menemui pegawai dan kakitangan kerajaan.

Bagaimanapun jelas Najib, kakitangan awam bebas untuk mengundi sesiapa dalam pilihan raya kecil ini.

"Kita cuma menerangkan dasar kerajaan sahaja," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain