suria

Isu Palestin: Petikan ucapan ahli Parlimen

ANGGOTA Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang hari ini mengetepikan agenda politik masing-masing bagi menyokong usul mengecam serangan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.

ANTARA YANG BERUCAP IALAH

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim

"Harapan Malaysia terhadap bakal presiden Amerika Syarikat Barack Obama ialah mengambil sikap yang adil kepada penduduk Palestin kerana jelas pendirian Obama terlalu keras menyokong Israel.

"Seluruh rakyat Malaysia termasuk daripada semua parti di negara ini menunjukkan rasa tidak senang hati dengan pentadbiran yang memihak kepada penjenayah perang dan melihat kelesuan pemimpin negara Arab yang nampak tidak menunjukkan sikap keberanian untuk memperjuangkan nasib rakyat."

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang

"Malaysia perlu mengambil tindakan mengheret Israel ke mahkamah antarabangsa kerana mencabuli undang-undang antarabangsa.

"Ini kerana Israel telah mencabuli piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan telah menunjukkan yang ia tidak berdisiplin."

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng

"Kerajaan perlu memainkan peranan proaktif dalam konflik di wilayah Gaza selain meminta Amerika Syarikat selaku kuasa besar menyelesaikan konflik itu.

"Saya telahpun meminta kerajaan supaya memanggil Duta Amerika Syarikat di Malaysia untuk menyampaikan bantahan rakyat Malaysia terhadap sokongan membuta-tuli Amerika kepada Israel."

Timbalan Setiausaha Agung DAP, P. Ramasamy

"Israel kini mencari jalan baru untuk mendominasikan Palestin dengan menyerang. Mereka ingin mengekalkan dominasi mereka terhadap Palestin.

"Oleh itu, kita kena adakan perbincangan dengan Kesatuan Eropah, Rusia dan semua kuasa besar untuk mencari jalan penyelesaian masalah ini."

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin

"Dunia menjadi saksi apa yang berlaku di Palestin. Semua mesti menyokong mencari jalan penyelesaian masalah ini. Langkah pertama ialah gencatan senjata oleh kedua-dua pihak.

"Sistem antarabangsa kini berat sebelah, menyebelahi sesebuah pihak. Sistem politik antarabangsa yang diamalkan sekarang tidak mendengar suara masyarakat dunia.

"Kita juga perlu menyusun semula PBB dan struktur baru itu perlulah menjaga kepentingan semua, tidak kira, bangsa dan agama."

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim

"Saya mencadangkan supaya Malaysia menghantar kumpulan tokoh-tokoh terkemuka untuk menemui pemimpin Indonesia dan Brunei bagi membincangkan pelan tindakan untuk menyelesaikan konflik di Gaza.

"Kumpulan itu dianggotai Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan Menteri Luar."

Ketua Wanita Umno Johor, Datuk Halimah Mohd Sadique

"Masyarakat antarabangsa perlu mempengaruhi bakal presiden Amerika Syarikat Barack Obama untuk mengubah dasar luar negara kuasa besar itu terhadap sekutunya, Israel.

"Selagi Amerika Syarikat tidak ubah, Israel tidak akan ubah dan bumi Palestin juga tidak akan berubah."

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali (Bebas)

"Kakitangan kerajaan dipotong gaji sehari dan duit itu disalurkan kepada tabung Palestin.

"Biarlah derma ini disalurkan dengan betul agar ia sampai ke tangan rakyat Palestin. Lebih baik jika dihantar dalam bentuk pakaian, makanan atau peralatan bukan dalam bentuk wang ringgit."

Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam

"Malaysia perlu menggunakan kekuatan dan pengaruhnya dalam kalangan negara Islam untuk membantu menamatkan serangan rejim Israel di Palestin.

"Dewan yang mulia ini perlu menghantar mesej kepada dunia bahawa kekejaman Israel tidak diterima di seluruh dunia."

Dr. Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat)

"Berhubung cadangan penubuhan tentera pengaman dalam kalangan negara Islam, kini sudah tiba masanya Malaysia mewujudkan pelobi sendiri dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi tujuan itu.

"Ini boleh dilaksanakan sebagai tekanan kepada Amerika (sekutu Israel) dan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain