suria

Kumpulan curi kereta mewah tumpas

KUALA LUMPUR: Kumpulan samun kereta mewah, "Geng Jongos", yang paling dikehendaki polis tumpas apabila lima lelaki termasuk ketua kumpulan itu ditahan bulan lepas.

Tiga daripada mereka yang ditangkap merupakan suspek yang diburu polis bagi membantu siasatan lapan kes rogol di sekitar Selangor tahun lepas.

Mereka dikatakan merogol mangsa selepas menyamun kereta mewah mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohammad Sabtu Osman dalam sidang akhbar di sini hari ini berkata dua lelaki berusia 30 dan 35 tahun ditahan pada 4 Dis lepas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur.

"Dua suspek itu ditahan di rumah mereka di Wangsa Maju. Seorang ialah pemandu teksi dan satu lagi penganggur. Mereka ini tinggal bersama keluarga mereka.

"Susulan tangkapan pertama, polis menahan tiga lagi lelaki di daerah Gombak pada 24 Dis lepas. Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun. Kesemuanya penggangur," katanya.

Siasatan awal polis mendapati kumpulan yang aktif sejak enam bulan lepas di sekitar Lembah Klang, Johor dan Kedah itu akan mengekori mangsa yang keluar dari bank sehingga mangsa berhenti di hadapan rumah mereka, sebelum mengacu parang dan melarikan kenderaan mangsa.

Mohammad Sabtu berkata polis juga berjaya menahan 14 orang broker menjual kereta curi dan dua daripada mereka didapati terlibat dalam mencetak, mengeluarkan dan menjual cukai jalan palsu.

Siasatan polis juga mendapati suspek telah menjual kirakira 60 cukai jalan palsu dengan harga RM200 hingga RM300 setiap satu.

"Antara kereta yang disamun ialah Mercedes Benz, BMW, Harrier, Volkswagon, Toyota Camry dan Honda Civic, Kenderaan yang dicuri ini kemudiannya dijual untuk pasaran dalam negeri pada harga antara RM15,000 hingga RM20,000 seunit oleh broker.

"Dengan tertangkapnya lima anggota kumpulan penyamun dan 14 broker ini, polis berjaya menyelesaikan 26 kes samun sejak enam bulan lepas. Sebanyak 13 buah kereta mewah berjaya dirampas polis," katanya.

Sementara itu Mohammad Sabtu berkata sepanjang tahun lepas 10 kumpulan samun bersenjata ditumpaskan D9 Kuala Lumpur dan berjaya merampas 22 pistol, 14 revolver, tiga pumpgun, tiga bom tangan, 1,052 peluru hidup dan tiga pistol mainan.

Antara kumpulan samun bersenjata yang ditumpaskan ialah kumpulan Tiger, kumpulan Aman, kumpulan AA O, kumpulan Ah Tok, kumpulan Ah Meng, kumpulan Mamak, kumpulan Modesto, kumpulan Ah Seow, kumpulan Netagi dan kumpulan Hartamas.

"Selain senjata api polis turut merampas berpuluh bilah parang dan senjata tajam yang lain. Semua ini adalah hasil kejayaan beberapa siri operasi khas yang dilancarkan polis," katanya. BERNAMA

Artikel Lain