suria

Isu MP Kapar bukti komponen Pakatan belum matang

PETALING JAYA: Tindakan ahli Parlimen Kapar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), S. Manikavasagam yang mengugut untuk keluar daripada parti mencerminkan wujud kelemahan dalam kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu isu yang disuarakan pemimpin Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP di negeri itu melalui media menunjukkan mereka masih kurang nilai kepimpinan.

"Ini membuktikan ada kelemahan dalam kepimpinan mereka, bukan keretakan.

"Ada masalah pemimpin yang tidak puas hati terhadap sesuatu masalah, namun tidak diselesaikan.

"Jika ini berlarutan, nanti ia akan menjejaskan usaha untuk menyelesaikan masalah rakyat," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Mohammad Agus berkata, tindakan bergaduh secara terang-terangan seperti ini akan memberi persepsi yang tidak baik kepada rakyat.

"Rakyat nanti akan menilai. Tindakan bergaduh seperti ini menunjukkan pemimpin itu sendiri masih belum menjiwai erti kepimpinan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.

"Jika inilah sikap yang ditunjukkan, maka mereka ini masih belum mencapai tahap untuk menjadi pemimpin lagi kerana tiada nilai kepimpinan dan tidak tahu berkompromi antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan kadangkala wujud perbezaan pendapat antara pemimpin apatah lagi daripada aliran parti yang berbeza, namun ia perlu diselesaikan dengan bijak demi kepentingan rakyat.

"Jika ada perbezaan pendapat, pilih alternatif yang terbaik. Yang penting adalah matlamat menyelesaikan sesuatu masalah itu walaupun wujud kaedah yang berbeza," katanya.

Mohammad Agus berkata, jika Manikavasagam berkeras untuk keluar daripada PKR, beliau boleh meneruskan hasratnya itu.

"Jika beliau tidak dapat mencapai apa yang dimahukannya dan makin dikritik, pada saya, jika mahu keluar, keluar," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman berkata, gabungan parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat masih belum matang dan sedang menyesuaikan diri antara satu sama lain.

"Parti-parti komponen dalam Pakatan ini baru bergabung selepas pilihan raya lalu dan mereka masih belum ada pengalaman untuk mempertimbang pendapat dan bertolak ansur antara satu sama lain.

"Mereka masih dalam keadaan try and error dan keadaan itu menyebabkan hubungan mereka nampak retak. Sebenarnya ia bukan retak, cuma ada masalah kecil bagi gabungan baru seperti mereka," katanya.

Ahmad Nizammuddin berkata, gabungan antara PKR, PAS dan DAP sebelum ini adalah untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN), namun kini apabila BN sudah dilihat sedikit tercabar, masing-masing mula membangkitkan isu yang menjadi kepentingan masing-masing.

"Bila BN sudah dilihat tercabar sedikit pada mereka, maka kehendak bersama yang diperjuangkan sebelum menjadi semakin kurang. Justeru, faktor gabungan itu menjadi tidak sekuat dulu.

"Masing-masing kini ada kehendak sendiri dan semuanya dikatakan adalah untuk kepentingan rakyat. Akhirnya, semua mengambil keputusan untuk mendedahkannya kepada media yang pada saya bukanlah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah," katanya.

Jumaat lalu, Manikasavagam dalam temu bual eksklusif dengan mStar Online memberitahu, beliau nekad untuk keluar daripada PKR dan dijadual akan mengumumkan pendiriannya secara rasmi sebelum Rabu ini.

Beliau mendakwa berasa kecewa dengan sikap pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor yang didakwanya cuai menjaga kepentingan rakyat.

Sehingga semalam, beliau masih tidak berganjak daripada pendiriannya itu walaupun ada usaha daripada Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali dan rakan-rakannya yang mahu Manikavasagam mengkaji semula pendiriannya.

Manikavasagam turut melahirkan rasa kecewanya semalam dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga Pengerusi PKR Negeri dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan bukan pemimpin politik yang sanggup menyelesaikan masalah yang wujud.

Dalam kenyataan Sabtu lalu, Khalid berkata, beliau menyerahkan kepada Manikavasagam untuk membuat keputusan sama ada mahu kekal ataupun keluar daripada PKR dengan menganggap beliau sudah matang untuk mengambil sebarang keputusan.

Dalam pada itu, Hadi pula berkata, Manikavasagam juga patut melepaskan jawatan sebagai ahli Parlimen Kapar jika keluar PKR.

Artikel Lain