suria

Tanah runtuh: MB Selangor tetap umum laporan JKR esok

TAN Sri Khalid Ibrahim (tengah) mengambil bahagian dalam salah satu aktiviti Hari Keluarga PKNS 2008 di Shah Alam hari ini. Turut hadir Pemangku Pengurus Besar PKNS, Datin Paduka Low Siew Moi (kanan). - foto The Star oleh CHUA KOK HWA
TAN Sri Khalid Ibrahim (tengah) mengambil bahagian dalam salah satu aktiviti Hari Keluarga PKNS 2008 di Shah Alam hari ini. Turut hadir Pemangku Pengurus Besar PKNS, Datin Paduka Low Siew Moi (kanan). - foto The Star oleh CHUA KOK HWA
TAN Sri Khalid Ibrahim (tengah) mengambil bahagian dalam salah satu aktiviti Hari Keluarga PKNS 2008 di Shah Alam hari ini. Turut hadir Pemangku Pengurus Besar PKNS, Datin Paduka Low Siew Moi (kanan). - foto The Star oleh CHUA KOK HWA

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tetap akan mengumumkan kandungan laporan geoteknikal berhubung kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa esok meskipun ia telah diumumkan oleh Ketua Polis Selangor pagi ini. Khalid berkata, pihaknya mengambil berat soal moral dan tanggungjawab pentadbiran kerajaan negeri dalam isu tersebut.

"Kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab pentadbiran memandangkan tanah terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

"Apa jua keputusan diambil kerajaan negeri berkaitan dengan pengurusan tanah dan hal-hal lain berkaitan dengan tanah perlu diteliti dengan mendalam kerana, ia bukan sahaja memberi kesan ke atas mereka yang memiliki tanah tetapi juga nilai tanah (kawasan terbabit)," katanya.

Semalam laporan itu diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada polis dan kemudian Pegawai Daerah yang mengemukakan kepada Menteri Besar.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar selaku Pengarah Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mengumumkan kandungannya di Subang Jaya pagi tadi.

Kelmarin Kerajaan Selangor melahirkan rasa kesal dengan tindakan JKR yang tidak menyerahkan laporan siasatan berhubung kejadian tanah runtuh itu.

Menurut Pejabat Menteri Besar Selangor kelmarin, tindakan itu amat mengelirukan kerana akan menyulitkan lagi usaha kerajaan negeri untuk membuat keputusan dalam menentukan nasib mangsa kejadian tanah runtuh dengan segera.

Bagaimanapun, jelas kenyataan Pejabat Menteri Besar, beliau tetap akan mengumumkan langkah yang perlu diambil sebaik sahaja menerima laporan berkenaan dan bersedia untuk mengguna pakai setiap kaedah yang dirasakan perlu.

Semalam, Khalid juga ada mengatakan bahawa beliau akan membuat pengumuman mengenai tindakan susulan kerajaan negeri apabila melawat lokasi tragedi esok.

Hari ini, Khalid mengulas lanjut bahawa pegawai-pegawai berkaitan memerlukan masa untuk membuat persediaan diperlukan memandangkan laporan itu hanya diterima semalam.

Jelas Menteri Besar, beliau tiada apa-apa masalah selepas Khalid mendedahkan laporan itu hari ini.

"Kerajaan negeri perlu melihat keseluruhan aspek. Ia bukan setakat menyelesaikan masalah Bukit Antarabangsa, tetapi menyelesaikan masalah mereka yang tinggal di kawasan tanah tinggi.

"Kami memerlukan masa untuk menjelaskan keputusan-keputusan diambil," kata beliau.

Tambah beliau, rakyat negeri Selangor akan mengharapkan kerajaan negeri bertindak secara profesional apabila menyelesaikan masalah mereka.

Terdahulu Khalid menghadiri Hari Keluarga 2008 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini.

Artikel Lain