suria

Dewan Rakyat lulus Rang Undang-undang SPRM

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 hari ini diluluskan di Dewan Rakyat di Parlimen, di sini.

Rang undang-undang tersebut dibacakan buat kali pertama pada Rabu lalu dan dibacakan buat kali kedua semalam untuk dibahas.

Sebelum ia diluluskan melalui suara majoriti ahli-ahli Parlimen, Dewan telah berbahas mengenai cadangan pindaan yang dibawa oleh pembangkang bagi meminda beberapa peruntukan dalam rang undang-undang tersebut.

R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) telah mengemukakan 14 cadangan pindaan di bawah Peraturan Mesyuarat 57 (2).

Bagaimanapun, kesemua cadangan pindaan yang kebanyakannya memfokuskan kepada Fasal-fasal yang menyatakan kuasa Pendakwaraya dalam proses pendakwaan perlu diberikan sepenuhnya kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM telah ditolak oleh kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Nazri berkata, Fasal-fasal tersebut khususnya Fasal 58 dibuat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan tidak bercadang untuk membuat sebarang pindaan atas Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan tersebut dan kuasa untuk memulakan pendakwaan kekal sebagai kuasa Peguam Negara.

"Peruntukan ini juga adalah selaras dengan keadaan di negara-negara lain termasuk Hong Kong dan Singapura yang mana kuasa untuk memulakan pendakwaan terletak di bawah Pendakwaraya," katanya.

Nazri berkata, jika Ketua Pesuruhjaya diberi kuasa untuk memulakan pendakwaan, ia akan menjadi ultra vires dengan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain