suria

Polis tahan 50 anggota JERIT untuk pemeriksaan

IPOH: Polis Sungai Siput hari ini menahan dan mengambil keterangan daripada 50 peserta kumpulan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) yang menunggang basikal dari Kuala Kangsar ke sini.

Jurucakap polis berkata, mereka yang terdiri daripada remaja berusia 13 hingga 16 tahun ditahan dalam dua sekatan jalan raya di Sungai Siput dan Khantan dan dibebaskan selepas polis mengambil keterangan daripada mereka.

Mereka yang berpakaian kemejaT merah ditahan untuk pemeriksaan biasa seperti pengguna jalan raya lain, katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, kumpulan yang sama ditahan dalam satu sekatan di Plaza Tol Kuala Kangsar kerana didakwa enggan bekerjsama dengan penguatkuasa ketika disoal dalam sekatan jalan raya berdekatan Plaza Tol Kuala Kangsar kira kira pukul 12.30 tengah hari.

Dalam sekatan itu, Ahli Parlimen Sungai Siput Dr S. Jeyakumar turut ditahan bersama kumpulan tersebut dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis, katanya.

Sementara itu, Penyelaras JERIT K.Kunasekaran, 44, berkata program ini adalah satu kempen bertujuan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 18 Disember ini.

"Jika kumpulan kami diganggu pada setiap sekatan polis di jalan raya sudah tentu melambatkan perjalanan ke destinasi yang dituju," katanya.

Sejak perjalanan kayuhan basikal kumpulan tersebut dari Perlis ke Perak sebanyak sembilan sekatan polis dilalui, katanya.

Katanya anggota JERIT akan melakukan kayuhan basikal dari Sungai Siput ke Ipoh esok untuk menemui Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamamad Nizar Jamaluddin dan menyampaikan memorandum. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain