suria

Thailand mungkin tangguhkan sidang kemuncak ASEAN

BANGKOK: Dengan dua lapangan terbang ditutup angkara tindakan penunjuk perasaan anti kerajaan, Thailand sedang menimbang kemungkinan untuk menangguhkan Sidang Kemuncak Asean yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 18 Disember di Chiang Mai, kata Menteri Luarnya Sompong Amornwiwat kepada sebuah akhbar tempatan The Nation.

Akhbar itu melaporkan dalam laman webnya bahawa Sompong yang kini terkandas di Jerman berkata, beliau sedang menimbangkan untuk menangguhkan Sidang Kemuncak itu bersama lainlain sidang kemuncak yang berkaitan, ekoran cetusan suara-suara kebimbangan yang dibangkitkan oleh lain-lain negara.

"Beberapa negara amat bimbang dengan insiden yang berlaku dalam negara ketika ini," katanya kepada akhbar itu semasa ditemuramah menerusi telefon.

Menurut laporan beberapa media asing Menteri Luar Kemboja, Laos dan Vietnam sudah menulis surat kepada setiausaha agung Asean Surin Pitsuwan mencadangkan supaya Sidang Kemuncak itu ditangguhkan.

Ekoran tunjuk perasaan itu, Thailand turut berhadapan dengan masalah bagi mendapatkan kelulusan yang diperlukan dari parlimennya untuk mengesahkan beberapa persetujuan penting sebelum ia boleh ditandatangani pada Sidang Kemuncak itu nanti.

Negara-negara angota Asean itu terdiri daripada Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Vietnam serta Thailand, dan Sidang Kemuncak Asean nanti dijangka akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dari China, Jepun, Korea, Australia, New Zealand dan India.

Sidang kemuncak itu pada mulanya dijadualkan berlangsung di sini, namun ekoran tunjuk perasaan anti kerajaan yang berlarutan, kerajaan Thailand terpaksa memindahkannya di bandar raya Chiang Mai di utara negara.

Sejak Isnin lepas pintu masuk utama Thailand Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi dan Lapangan Terbang Don Muang ditutup selepas penunjukpenunjuk perasaan yang menuntut perletakan jawatan Perdana Menteri Somchai Wongsawat menyerbu dan mendudukinya.

Sementara itu, Jabatan Penerbangan Awam Thailand berkata ia akan membenarkan penerbangan komersil menggunakan lapangan terbang Utapao Airport yang terletak berdekatan Pattaya dan 140km dari Bangkok.

Lapangan terbang berkenaan ketika ini digunakan oleh Angkatan Tentera Laut Diraja Thailand dan juga beberapa pesawat sewa.

Sementara itu, di Putrajaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata beliau belum membuat keputusan sama ada akan menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Thailand bulan depan. Ini kerana tempoh sidang kemuncak itu iaitu antara 15 dan 18 Dis bertembung dengan sesi sidang Parlimen sekarang yang akan berakhir 18 Dis, kata Perdana Menteri.

Sesi Parlimen kali ini dilanjutkan berikutan pembentangan rang undangundang berkaitan dengan pembaharuan Badan Pencegah Rasuah dan kehakiman.

Bagaimanapun, Malaysia akan tetap menghantar wakil ke sidang kemuncak itu, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kualiti Sektor Awam 2008 di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya di sini.

Sidang kemuncak itu yang dijadualkan di Bangkok kini dipindahkan ke Chiang Mai berikutan kekecohan di ibu negara Thailand itu sekarang termasuk penutupan sementara lapangan terbang antarabangsa di Bangkok setelah "dikuasai" oleh penunjuk perasaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain