suria

Siasatan caj ceramah Angkasawan ditangguh minggu depan

SERDANG: Siasatan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar terhadap dakwaan bahawa angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor mengumpul RM1.2 juta menerusi ceramah yang diadakannya di seluruh negara akan ditangguhkan hingga minggu depan bagi membolehkan kementerian mengumpul maklumat lanjut dan terperinci mengenainya.

Menteri berkenaan, Datuk Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi membolehkan malumat yang lebih lengkap diterima berikutan dakwaan itu yang merupakan satu perkara yang perlu dipandang serius.

Katanya, sehingga hari ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat atau laporan rasmi berhubung dakwaan tersebut, justeru masa tambahan diperlukan sebelum siasatan dijalankan secara rasmi.

"Setakat ini kami masih menunggu aduan secara rasmi. Memang ada aduan yang diterima menerusi khidmat pesanan ringkas (SMs) dan khabarkhabar angin, tetapi untuk mendakwa dia menerima lebih RM1 juta, itu saya rasa tidak berasas.

"Kerana itu saya katakan pihak yang mempunyai maklumat, sila datang kepada kami. Untuk tugasan beliau yang di luar waktu pejabat, itu di luar pengetahuan kami. Sepanjang yang kami tahu, beliau mengikut segala prosedur yang ditetapkan oleh MOSTI (kementerian berkenaan)," katanya.

Beliau mengulas kenyataan timbalan menteri kementerian itu, Fadillah Yusof semalam bahawa siasatan akan dijalankan oleh sebuah jawatankuasa khas dan akan dimulakan esok selepas tarikh menerima aduan berakhir semalam.

Mengulas lanjut, Maximus berkata, tempoh menerima aduan yang pada awalnya berakhir semalam akan dilanjutkan sehingga 1 Dis depan.

"Kita tunggu sampai minggu depan untuk menerima aduan tambahan dan akan berbincang sekali dengan beliau (Sheikh Muszaphar) mengenai isu ini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain