suria

Saya minta 100 orang tanding jawatan Presiden Samy Vellu

KUANTAN: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini berkata, beliau bersedia berhadapan dengan sesiapa sahaja yang berhasrat mencabarnya bagi merebut jawatan tertinggi parti itu pada pemilihan jawatan presiden parti Mac depan.

Beliau berkata, MIC sentiasa mengamalkan demokrasi dan mana-mana pihak atau pemimpin boleh bertanding apa juga jawatan termasuk jawatan tertinggi parti.

"Sesiapa pun boleh bertanding. Saya minta 100 orang bertanding jawatan Presiden," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar penjenamaan semula MIC di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bernama pada Isnin lepas yang memetik kenyataan bekas Naib Presiden, MIC Datuk M. Muthupalaniappan yang menawarkan diri bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti itu.

MIC akan mengadakan pemilihan jawatan presiden parti pada Mac tahun depan, manakala pemilihan bagi jawatan timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) dijadual pada September tahun depan.

Samy Vellu berkata, isu pemilihan jawatan Presiden parti itu tidak sepatutnya timbul memandangkan CWC MIC belum memutuskan sebarang tarikh sebenar untuk mengadakan pemilihan parti.

Menurutnya, kini bukan masa yang sesuai untuk memperkatakan soal pemilihan ketika usaha-usaha memperkukuhkan parti sedang giat dijalankan di seluruh negara.

Mengulas cadangan Muthupalaniappan berhubung jawatan Presiden MIC yang perlu dihadkan untuk tempoh tertentu, Samy Vellu berkata syor itu perlu mendapatkan sokongan majoriti anggota parti.

Beliau berkata, mana-mana pemimpin dan anggota parti bebas mengemukakan pandangan dan cadangan tetapi ia perlu mendapat sokongan majoriti anggota untuk dilaksanakan.

"Itu pandangan dia (Muthupalaniappan). Apa pun, kita mesti mendapatkan persetujuan majoriti, bukan hanya seorang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Samy Vellu berkata, MIC akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Kewangan untuk membincangkan permohonan bagi pinjaman mudah untuk golongan peniaga India di negara ini.

Beliau juga berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk membina dan menaik taraf sekolah jenis kebangsaan Tamil di seluruh negara pada tahun depan. BERNAMA

Artikel Lain