suria

Hakim Jangan lupa diri ikut perasaan ketika jatuh hukuman

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengingatkan hakimhakim lain supaya tidak lupa diri dan terbawa-bawa dengan emosi serta perasaan marah terhadap tertuduh ketika menjatuhkan hukuman.

Hakim Datuk Suriyadi Halim Omar menegaskan sistem penghukuman di mahkamah perlulah dibuat mengikut undang-undang yang ditetapkan secara adil dan saksama.

Beliau berkata demikian ketika membenarkan rayuan seorang penoreh getah (yang namanya tidak boleh diumumkan kerana kesalahan sumbang mahram) terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kota Baharu yang menjatuhkan hukuman penjara 75 tahun atas kesalahan merogol anak tirinya berusia 12 tahun sehingga mangsa melahirkan anak.

"Dalam hal ini, kamu memang bersifat binatang kerana patutnya awak menjaga anak awak tapi awak rogol dia dari kecil lagi hingga lahirkan anak.

"Awak ini memang lupa diri, tapi kami (hakim) di sini tak nak jadi macam awak, kami tak nak jadi hakim yang lupa diri dan terbawa-bawa dengan perasaan marah kerana kita terikat dengan undang-undang," kata Suriyadi, yang bersidang bersama-sama hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wan Adnan Muhamad dan Datuk Ahmad Maarop. Tertuduh, warga Thailand, 44, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Baharu terhadap lima pertuduhan merogol anak tirinya, ketika itu berusia 12 tahun, di sebuah rumah di Kampung Sungai Mengkuang, Kuala Kerai, pada Jun, Ogos dan Mac 2001, Jun 2002 dan 1 Nov 2003.

Laporan polis dibuat oleh ibu mangsa terhadap perbuatan tertuduh selepas mangsa melahirkan anak lelaki pada 22 Julai 2004, dan tertuduh ditangkap enam hari selepas itu.

Dia dihukum 75 tahun penjara dan 50 kali sebatan bagi kelimalima pertuduhan, iaitu 15 tahun penjara dan 10 kali sebatan bagi setiap satu pertuduhan.

Tertuduh, bapa kepada lima anak dan dua anak tiri dan tidak diwakili peguam, dalam rayuannya memohon supaya hukuman terhadapnya dijalankan serentak.

"Kalau nak masukkan dia dalam penjara 75 tahun, hukuman penuh dengan kemarahan, ia mesti dalam ruang lingkup undangundang. Kalau 75 tahun, campur umur 44 tahun, berapa tahun agaknya dia akan keluar. Jadi hukuman kena logikal," kata Hakim Suriyadi.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 15 tahun bagi kesalahan pertama dan 15 tahun lagi bagi kesalahan kedua, dan hukuman berjalan berasingan, sementara hukuman bagi kesalahan ketiga, keempat dan kelima berjalan serentak dengan hukuman bagi kesalahan kedua.

Hakim Suriyadi juga meminda hukuman sebat daripada 50 kali kepada maksimum 24 kali sebatan.

"You are lucky that the law is not as evil as you are," (Anda bernasib baik, undangundang tidak sezalim anda) katanya lagi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya V. Shoba. BERNAMA

Artikel Lain