suria

Maznah selar Kamilia tolak pelan peralihan

KUANTAN: Ketua Wanita Umno Pahang, Datuk Maznah Mazlan hari ini menyelar anggota exco pergerakan itu Datuk Kamilia Ibrahim yang berkeras untuk bertanding jawatan Naib Ketua dan menolak pelan peralihan kuasa pergerakan itu yang dipersetujui pada 4 Ogos lepas.

"Sebagai anggota exco, beliau tidak datang mesyuarat berkali-kali apabila kita membincangkan hal ini (pelan peralihan kuasa) dan selepas itu tidak pernah bersuara menyatakan tidak setuju dan hanya bersuara selepas habis pencalonan.

"Dan jika ada pertandingan di pucuk pimpinan, ini bermakna beliau akan menang percuma dan ini tidak adil kepada Wanita Umno kerana beliau telah ingkar kepada pelan peralihan yang telah dipersetujui," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata jika Kamilia menyatakan pendiriannya lebih awal, kemungkinan anggota Wanita Umno dapat menamakan beberapa calon lain bagi jawatan Naib Ketua serta bagi jawatan Ketua Wanita sendiri sekiranya Tan Sri Rafidah Aziz tidak mempertahankan jawatannya.

Beliau berkata tindakan itu menunjukkan Kamilia tidak mahu bekerjasama sebagai satu pasukan dan mengambil tindakan sendiri.

Maznah, yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata Wanita Umno Pahang akan bekerja bermati-matian untuk Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sekiranya beliau ditentang oleh Kamilia bagi jawatan naib ketua.

Mengikut pelan peralihan kuasa itu, Rafidah akan menyerahkan jawatan Ketua Wanita Umno kepada Shahrizat pada Jun tahun depan, namun ada beberapa negeri yang mahu ianya dipercepatkan ke Mac selaras dengan pemilihan jawatan dalam Umno.

Walaupun Shahrizat sebelum ini berkata beliau akur dengan pelan itu, sebanyak 73 bahagian Umno telah mencalonkan beliau untuk jawatan ketua. BERNAMA

Artikel Lain