Musa Aman tak halang bahagian calonkan beliau bagi jawatan Naib Presiden - Semasa | mStar

Musa Aman tak halang bahagian calonkan beliau bagi jawatan Naib Presiden

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata beliau tidak dapat menghalang manamana bahagian yang ingin mencalonkannya untuk jawatan naib presiden Umno walaupun beliau mengumumkan bagi mempertahankan jawatan Anggota Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan parti Mac tahun depan.

Bagaimanapun, katanya beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mencalonkannya walaupun telah memberitahu bahawa beliau hanya akan bertanding kerusi MT.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Petronas di sini hari ini, mengenai keputusan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Ranau semalam yang mencalonkannya untuk bertanding jawatan naib presiden Umno.

Ketua Umno bahagian Ranau Datuk Masidi Manjun semalam berkata pihaknya membuat keputusan untuk mencalonkan Musa bagi jawatan naib presiden dan bukan anggota MT kerana ia merupakan permintaan popular daripada anggota bahagian dan dipersetujui sebulat suara.

Bahagian itu turut mencalonkan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Shafie Apdal dan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk jawatan naib presiden.

Mengenai isu berkaitan mesyuarat perwakilan di beberapa bahagian di Sabah seperti Umno bahagian Batu Sapi, Puteri Putatan, Pemuda Semporna dan Umno Tenom ekoran kenyataan yang mengelirukan, Musa berkata Badan Perhubungan Umno negeri akan meneliti secara terperinci laporan yang dikemukakan sebelum mengadakan siasatan selanjutnya serta akan mengambil tindakan sewajarnya seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti.

Menyentuh perkembangan beberapa ketua cawangan yang dipanggil oleh jawatankuasa berkaitan di bawah badan perhubungan untuk memberi keterangan, katanya siasatan berjalan dengan baik dan rapi kerana mereka tidak mahu ada yang menjadi mangsa hasil daripada laporan ataupun kerana tindakan daripada orang tertentu.

"Kita mestilah menyiasat dengan teratur dan baik supaya apa juga keputusan yang akan diambil oleh jawatankuasa disiplin adalah keputusan yang terbaik," tambah beliau.

Ditanya sama ada mesyuarat sempat lagi diadakan untuk bahagianbahagian yang bermasalah ini kerana tinggal dua minggu lagi untuk mesyuarat perwakilan, Musa menjawab:"Itu akan dipertimbangkan nanti, kita akan bincang dengan (Umno) pusat."

Sementara itu pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan daripada Petronas iaitu 500 helai baju kemejat kepada Dewan Bahasa dan Pustaka sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara, serta sumbangan duit raya kepada 113 kanak-kanak miskin dari Sekolah Kebangsaan Gayang dan Sekolah Kebangsaan Kimanis.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata kenyataan pembangkang yang kononnya pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) melibatkan unsur-unsur rasuah di Parlimen semalam, hanya bertujuan untuk memporak-porandakan negara dan cuma hasutan.

Di Parlimen semalam, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lajim Ukin berkata pembinaan KKIA memerlukan RM1.5 bilion dan pada ketika ini anggota Parlimen DAP bagi Bagan Serai N.Gobalakrsihanan mencelah 'tapi lebih daripada setengah rasuah'. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

Artikel Lain

Wenger dapat tugas baharu di Fifa