suria

Pelaburan ValueCap Kerajaan suntik RM5 bilion

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, kerajaan akan menyediakan dana tambahan RM5 bilion bagi menggandakan saiz Valuecap Sdn Bhd kepada RM10.3 bilion dan melabur dalam saham terkurang nilai serta melindungi pelaburan di dalam syarikat milik kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan telah menubuhkan Valuecap dengan modal RM10 bilion pada Januari 2003.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Forum Megatrends Khazanah di sini hari ini, Najib berkata kerajaan akan membenarkan Valuecap memikirkan cara melakukan pengagihan dana itu.

"Biarlah mereka tentukan (pengagihan dana itu). Mereka akan mengkaji kedudukan aset yang terkurang nilai hari ini," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan turut meliberalisasikan sektor perkhidmatan sebagai respons untuk menguruskan krisis kewangan dan global. Katanya sektor tertentu akan diperincikan dan ini akan dilakukan berasaskan cadangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada Kabinet tidak lama lagi.

Melalui liberalisasi, kerajaan berharap akan dapat menarik lebih banyak pelaburan dan menjana lebih banyak pekerjaan di negara ini, katanya.

Garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) akan turut disemak semula untuk menjadikannya lebih menarik bagi pelabur asing, khususnya di dalam sektor hartanah dan komersial.

Di bawah liberalisasi itu, Najib berkata, sesetengah pelaburan dan pembelian kemungkinan tidak mendapat kelulusan FIC.

"Terdapat elemen pelan penstabilan dan kita lakukannya secara berperingkatperingkat."

"Samua bercakap mengenai kestabilan kewangan seperti yang dinyatakan oleh Bank Negara Malaysia mengenai jaminan (bagi kesemua deposit bank) bagi memastikan tidak berlaku keketatan kredit dan pinjaman terus dicatatkan di paras yang tinggi di Malaysia, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKs)," katanya.

Najib berkata, langkah itu akan turut memastikan perbelanjaan kerajaan terus berada pada paras semasa.

"Kita perlu memastikan bahawa kita perlu mengambil langkah bagi memastikan daya saing jangka panjang sambil kita menguruskan krisis jangka pendek," katanya.BERNAMA

Artikel Lain