suria

Kedudukan anggota Kabinet dari MCA Abdullah akan adakan perbincangan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengadakan perbincangan dengan Presiden MCA yang baru, Datuk Ong Tee Keat bagi membincangkan mengenai kedudukan anggota Kabinet dari parti itu.

"Saya suka untuk berjumpa dahulu dengan Presiden MCA yang baru untuk dengar penjelasan beliau sebelum saya boleh tentukan (tindakan) atau wajar dilakukan," katanya di Parlimen hari ini.

Abdullah berkata demikian bagi menjawab soalan media mengenai status wakil MCA dalam Kabinet selepas MCA selesai mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-55 semalam.

Dalam pemilihan tersebut Tee Keat, yang juga Menteri Pengangkutan dan sebelum ini memegang jawatan Naib Presiden, memperoleh 1,429 undi untuk menewaskan Datuk Chua Jui Meng yang mendapat 917 undi.

Manakala bagi jawatan Timbalan Presiden memperlihatkan kejutan dengan dimenangi bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Semalam Soi Lek berkata beliau menyerahkan kepada Tee Keat untuk menentukan sama ada beliau akan menamakannya untuk dilantik semula sebagai anggota Kabinet menerusi jawatan Senator.

Januari lalu, Soi Lek yang merupakan Menteri Kesihatan ketika itu meletakkan jawatannya dalam parti dan kerajaan ekoran tersebarnya video seks beliau.

Dalam pada itu Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata beliau enggan membuat sebarang kenyataan secara khusus sebelum mengadakan perbincangan dengan Presiden MCA.

"Pada waktu ini saya tidak mahu cakap apa-apa lagi secara spesifik, saya akan terlebih dahulu berbincang dengan Presiden MCA yang baru," katanya.

Abdullah juga mengambil kesempatan itu untuk mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan MCA yang baru serta pihak pengurusan parti kerana berjaya melaksanakan proses pemilihan dengan baik tanpa sebarang masalah.

Artikel Lain