suria

Ghapur RTM diminta siar kritikan anggota Parlimen BN

KUALA LUMPUR: Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu menyiarkan maklum balas terhadap jentera kerajaan yang disuarakan anggota Parlimen, terutama daripada Barisan Nasional di Dewan Rakyat bagi memantapkan lagi perkhidmatan kerajaan.

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) berkata maklum balas antara anggota dan penyokong kerajaan kepada kerajaan amat membina, dan "kita mesti realistik" kerana maklum balas ini akan menambah nilai kerajaan BN.

Selain itu, RTM juga perlu memainkan peranannya dalam memberi penerangan kepada masyarakat mengenai sebarang kekeliruan yang timbul, katanya semasa membahas rang undang-undang Perbekalan 2009 pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Abdul Ghapur turut mencadangkan agar program "Parlimen Hari Ini" yang disiar RTM setiap Isnin hingga Khamis sepanjang persidangan Dewan Rakyat diubah waktu siarannya dari 11.30 malam kepada 10 malam memandangkan pukul 11.30 malam itu terlalu lewat, dan kebanyakan orang sudah tidur. BERNAMA

Artikel Lain