suria

Ali Rustam nafi khabar angin tarik diri tanding Timbalan Presiden

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak akan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, malah yakin beliau mampu memperolehi cukup pencalonan untuk membolehkan beliau bertanding ke jawatan itu menjelang tamat pemilihan peringkat bahagian parti 9 November ini.

Katanya beliau merasakan perlu untuk membuat penjelasan itu berikutan tersebarnya desas-desus sejak beberapa hari lepas kononnya beliau mungkin akan menarik diri daripada bertanding ke jawatan itu.

"Ia tidak betul, saya harap ini dapat menjelaskan kepada semua anggota Umno dan bahagian-bahagian bahawa saya tidak akan tarik diri dan berharap bahagian-bahagian dapat berikan pencalonan bagi mencukupkan kuota 39 pencalonan untuk membolehkan saya bertanding," katanya.

Mohd Ali berkata demikian selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Bukit Katil di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini, semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata, beliau menawarkan diri kerana terdapat kekosongan jawatan Timbalan Presiden Umno dan berhasrat untuk memberi perkhidmatan yang lebih berkesan dengan kedudukan sebagai Timbalan Presiden Umno.

Mengenai pandangan bahawa beliau sukar berkhidmat di pusat sekiranya dipilih sebagai Timbalan Presiden Umno kerana kini beliau seorang anggota Dewan Undangan Negeri, Mohd Ali berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk berkhidmat di peringkat kerajaan pusat sekiranya terpilih sebagai Timbalan Presiden Umno pada pemilihan nanti.

"Ini berdasarkan kes-kes lepas seperti yang dilalui oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob sendiri yang pernah menjadi Menteri Besar Pahang sebelum meletak jawatan dan dipilih sebagai senator, dilantik sebagai Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung Umno," katanya.

Katanya beliau juga boleh melalui kaedah sama yang dilakukan Khalil atau melalui proses pilihan raya kecil untuk menjadi anggota parlimen.

Mohd Ali berkata beliau boleh melalui proses pilihan raya kecil peringkat parlimen kerana setakat ini parlimen di Melaka, kerusi BN, terutama yang diwakili calon Umno, semuanya dimenangi setiap kali pilihan raya.

Semalam, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dilaporkan berkata faktor utama yang menjadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin individu terbaik memegang jawatan Timbalan Presiden Umno ialah kerana beliau merupakan satu-stunya calon yang merupakan seorang anggota Parlimen. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain