suria

MCA Pahang sokong Tee KeatKa Chuan Tiong Lai

TEMERLOH: MCA Pahang memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepada calon presiden parti itu Datuk Ong Tee Keat dan timbalan presiden Datuk Seri Ong Ka Chuan pada pemilihan parti 18 Okt ini.

Pengerusinya, Datuk Hoh Khai Mun berkata, MCA negeri juga memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepada Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai yang juga Ketua Pemuda MCA yang akan bertanding bagi jawatan naib presiden parti.

"Ia adalah keputusan sebulat suara MCA Pahang menyokong Tee Keat dan Ka Chuan memegang kedua-dua jawatan tertinggi parti itu dan kami percaya mereka merupakan pilihan yang paling tepat dalam usaha mengembalikan kegemilangan MCA dan meraih semula sokongan masyarakat Cina terhadap parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis mengangkat sumpah oleh 14 ketua bahagian MCA di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Chan Kong Choy, Liow dan Ketua Wanita MCA, Datuk Dr Ng Yen Yen yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Pada pemilihan MCA 18 Okt ini, Tee Keat yang juga Naib Presiden MCA serta Menteri Pengangkutan akan menentang bekas Naib Presiden MCA dan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng dalam pertandingan merebut jawatan presiden.

Jawatan timbalan presiden akan menyaksikan saingan hebat tiga penjuru antara Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai, Ka Chuan yang juga setiausaha agung MCA dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta bekas Naib Presiden MCA dan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Tujuh calon akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden MCA iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha dan Liow serta bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn.

Turut mengumumkan untuk bertanding jawatan yang sama ialah Dr Ng dan Exco Negeri Johor Datuk Tan Kok Hon serta bekas Naib Presiden MCA dan veteran parti Datuk Yap Pian Hon.

Hoh turut menyeru pemimpin MCA di negeri ini supaya melipat gandakan usaha serta bekerja keras untuk memperoleh semula sokongan dan kerusi yang mereka tewas dalam pilihan raya umum lepas. BERNAMA

Artikel Lain