suria

PM: Umat Islam perlu hayati al-Quran cari ilmu pengetahuan

JOHOR BAHARU: Kegagalan umat Islam menghayati ajaran al-Quran yang mahukan umatnya mencari ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang merupakan punca kepada kemunduran mereka berbanding bangsa lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kegagalan untuk menghayati ajaran kitab suci itu turut menyebabkan negara Islam masih dibendung gejala kemiskinan manakala rakyatnya dibelenggu masalah buta huruf.

"Umat Islam perlu mencontohi umat Islam pada zaman silam yang berjaya menguasai pelbagai ilmu pengetahuan dalam bidang seperti perubatan, sains astronomi, matematik dan pelbagai bidang lain.

"Jika kita menuruti ajaran al-Quran yang menitikberatkan penguasaan ilmu pengetahuan di kalangan umatnya, tidak mustahil jika kita dapat mengembalikan zaman kegemilangan Islam," katanya.

Abdullah berkata demikian ketika berucap pada majlis Tadarus al-Quran anjuran Badan Perhubungan Umno Johor di kediaman rasmi Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Pemimpin lain yang hadir adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Perdana Menteri berkata, manusia yang tidak menguasai ilmu pengetahuan dan kepakaran diibaratkan sebagai "orang yang sentiasa berada di dalam ketakutan dan kegagalan."

Selepas majlis Tadarus al-Quran itu, Abdullah dan pemimpin Umno Johor serta anggota Umno bersamasama menghadiri majlis berbuka puasa, sebelum menunaikan solat Maghrib dan Tarawih. BERNAMA

Artikel Sebelum

UPKO cadang ISA dikaji semula

Artikel Berikut

Anwar 'main wayang' - Rais

Artikel Lain