SEORANG graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tular selepas dia menziarahi Tanah Perkuburan Islam Sungai Petani, Kedah dengan memakai jubah konvokesyen. Menerusi video yang dikongsi pada Khamis, Muhammad Kamal Salmi, 27, dilihat berjalan di kawasan kubur sebelum dia mengusap batu nisan di pusara ibunya, Allahyarham Noraini Yusof. Menurut Kamal, dia berkunjung ke kubur sambil memakai jubah konvokesyen sebagai simbolik untuk meraikan hari bermakna itu meskipun ibunya sudah lama tiada. Kamal menunaikan 'janji' untuk meraikan hari bahagia itu dengan ibunya. "Dah lama saya nantikan hari terindah untuk menamatkan pengajian. Saya juga dah lama berniat dalam hati untuk menunjukkan jubah kepada mak serta bawa scroll sebagai tanda penghargaan atas pengorbanannya. "Tapi apakan daya, hasrat saya untuk menyarungkan jubah kepada mak tidak kesampaian. Tapi saya yakin mak nampak dan gembira dengan kejayaan saya. Saya dapat rasakan perasaan sedih ketika itu. "Saya berjalan ke pusara lengkap dengan mortar board dan scroll ijazah saya. Sememangnya saya dah berjanji dengan diri, tamat saja graduasi saya akan cari masa untuk ke pusara mak, 'tunjukkan' pada mak," ujarnya kepada mStar. Mak selalu cakap, anak mak pasti berjaya satu hari nanti... mak nak sangat tengok anak mak pakai jubah tu. MUHAMMAD KAMAL SALMI Menurut graduan bidang Pengajian Malaysia dengan Pendidikan itu, ibunya meninggal dunia akibat kanser sarkoma pada 4 September 2021. Lebih memilukan, ibunya menghembuskan nafas terakhir ketika Kamal sedang menjalani semester kelima pengajian, sekali gus memberi kesan emosi yang cukup berat buatnya. "Mak meninggal semasa saya dalam pengajian iaitu pada semester lima ketika saya menjalani Latihan Mengajar di sebuah sekolah di Kedah. Mak meninggal akibat kanser sacorma. "Sepanjang pengajian, saya memang ingat pesan mak. Mak nak sangat saya berjaya dunia akhirat. Dia minta jangan lupa asal-usul. Setinggi mana kita berada, tolonglah sesiapa yang memerlukan. ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tak teruja hadir konvo, tapi “Saya hadiahkan mereka Anugerah Naib Canselor” ARTIKEL BERKAITAN: [V] Anak ziarah pusara ibu pakai jubah konvo, imbas memori di beranda hospital... “Mulut kata reda, tapi tak mudah hidup tanpa dia” "Mak selalu cakap, anak mak pasti berjaya satu hari nanti. Mak nak sangat tengok anak mak pakai jubah tu. Berjaya macam orang lain dan berjaya dalam bidang pengajian sebagai cikgu," ujar anak keempat daripada lima beradik itu. Ketika majlis graduasi pada 28 November lalu, Kamal diraikan oleh bapanya Salmi Ismail serta ahli keluarga yang lain. Menerusi satu video berasingan yang dikongsi di TikTok, Kamal juga dilihat sebak ketika dia memeluk bapanya selepas tamat majlis tersebut. Kisah Kamal meraih perhatian ramai selepas video dia ke kubur tular di TikTok. Di ruangan komen, ramai netizen turut menitipkan ucapan tahniah buat Kamal serta berharap dia terus kuat untuk meneruskan kehidupan dan bergelar guru tidak lama lagi. "Tahniah dik. Ibu adik pasti bangga dengan kejayaan adik. Kuatkan semangat ya. "Tahniah. Ibu tinggal harta berharga untuk adik iaitu ilmu. Semoga terus tabah. "Mak kita tak pernah hilang. Cuma hilang daripada pandangan mata saja," tulis beberapa netizen di TikTok. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube