suria

Tiba-tiba sunyi sepi! Gadis terkurung selepas solat Isyak sendirian, ruang jemaah lelaki gelap... Meremang seperti ada yang memandang

Seorang gadis berkongsi pengalaman terkunci di dalam masjid.

SEBAGAI manusia kita tidak pernah lekang daripada menerima ujian tidak dijangka tanpa mengira masa dan tempat.

Begitulah juga bagi gadis ini apabila berdepan detik cemas gara-gara terperangkap di dalam ruang solat sebuah masjid pada waktu malam.

Menerusi satu perkongsian video yang tular, ramai tertanya-tanya bagaimana gadis berkenaan boleh terkunci di dalamnya?

Berkongsi cerita, gadis berkenaan, Aina Wardina Mat Zaki berkata, kejadian berlaku pada 5 Ogos lalu ketika keluarganya menghantar abangnya berurut di Dungun, Terengganu.

Sementara menunggu abangnya yang baru terlibat dalam kemalangan selesai berurut, dia bersama adik lelaki singgah di sebuah masjid berdekatan.

“Masa tu selepas pukul 9.15 malam, orang lain dah selesai solat berjemaah. Saya datang ke masjid untuk solat Isyak tapi kebanyakan pintu masuk tak dibuka.

“Kemudian seorang makcik yang baru keluar masjid tegur supaya saya ikut pintu depan. Saya tak fikir apa dan terus masuk dan ke tandas terlebih dahulu,” katanya kepada mStar.

Keadaan dalam masjid yang bergelap selepas Aina keluar dari tandas.

Sebaik keluar daripada tandas dan selesai mengambil wuduk, gadis berusia 22 tahun itu terkejut apabila ruang masjid tiba-tiba bergelap.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis dedah detik cemas terkunci dalam tandas hotel ketika kuarantin wajib, minum air paip - “Aku jerit selama ni tak ada orang dengar”

ARTIKEL BERKAITAN: Terkurung lebih 7 jam! Baru pindah rumah, 3 beranak alami detik cemas dalam bilik air sampai tertidur... anak sulung tiba-tiba gemar pakai sweater - “Saya blur tengok suami”

“Hanya kawasan tandas yang berlampu. Masa tu saya terus masuk ke ruang solat wanita dan hidupkan suis lampu di situ.

“Pada mulanya saya tak fikir apa sebab sebelum ni ada pengalaman tinggal di asrama, jadi dah biasa lalu di tempat bergelap macam nak ke tandas sebelum on lampu,” ujarnya yang berasal dari Dungun.

Ruang solat jemaah wanita.

Namun perasaan tidak sedap hati timbul sebaik selesai solat bersendirian apabila menyedari keadaan begitu sunyi di dalam masjid.

“Ruang solat di bahagian lelaki pun bergelap. Tengok dah tak ada orang, tak ada sesiapapun. Apabila nak keluar, saya terkejut sebab pintu berkunci bermangga dari dalam.

Tak ada orang, tak ada sesiapapun. Apabila nak keluar, saya terkejut sebab pintu berkunci bermangga dari dalam.

AINA WARDINA MAT ZAKI

“Banyak pintu keluar pun sama berkunci dari dalam. Ada sliding door yang dapat dibuka, tapi sebaik keluar ada pagar lain di setiap pintu keluar yang turut berkunci.

“Saya kemudian telefon adik lelaki yang tunggu dalam kereta di luar pagar masjid. Dia datang dan periksa semua pintu keluar dari luar, memang berkunci,” katanya.

Adik lelaki cuba membantu memeriksa pintu keluar.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu lagi, mereka kemudian meminta bantuan daripada bapanya untuk menghubungi ahli jawatankuasa (AJK) masjid.

“Dalam setengah jam tunggu, ada seorang AJK datang. Selepas 15 minit, AJK kedua pula datang bawa kunci untuk buka pintu. 45 minit hingga sejam juga saya terkunci dalam masjid.

“Rasa bersalah dengan AJK masjid sebab mereka terpaksa datang semula untuk buka pintu. Banyak kes kecurian berlaku di masjid tu sebelum ini, itu sebab semua pintu dikunci demi keselamatan,” katanya yang sedang menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Melaka.

Aina tidak menyangka dirinya 'terkunci' di dalam masjid pada waktu malam.

Mengakui pertama kali ‘terkunci’ di dalam masjid, Aina bagaimanapun mengakui perasaannya sangat berbeza ketika bersendirian di ruang solat wanita pada malam kejadian.

“Di situ tiba-tiba meremang bulu roma seperti ada yang memandang. Macam filem Makmum, seperti ada seseorang turut berada di situ.

“Saya sebenarnya penakut juga orangnya,” katanya yang merujuk kepada filem seram Indonesia yang mengisahkan seorang wanita dihantui ketika solat seorang diri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain