suria

Salah guna syampu, kulit kepala luka sampai bernanah! Wanita ini makin panik saat doktor tunjuk keputusan darah

Aishah berkongsi kisah didiagnos penyakit kencing manis ketika berusia 23 tahun.

SIAPA yang tidak terkejut apabila disahkan menghidap penyakit berbahaya, lebih-lebih lagi ketika usia masih muda.

Namun itulah kenyataan pahit yang perlu ditelan wanita ini, saat dia didiagnos dengan penyakit kencing manis pada usia 23 tahun.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aishah Shakura berkata, segala-galanya bermula apabila dia tersalah menggunakan shampu rambut sehingga kulit kepalanya luka gara-gara sensitif.

"Mula-mula gatal dekat satu bahagian kepala... saya garu hingga akhirnya berdarah. Kawasan luka itu berair, bernanah dan pedih. Saya pergi klinik dan diberi antibiotik tapi tak sembuh. Dua minggu pun masih tak ada perubahan, jadi saya ke hospital.

"Doktor tanya ada kencing manis ke... sebab bernanah. Saya pun tak tahu sebab tak pernah check. Doktor ambil darah dan akhirnya result menunjukkan kandungan gula dalam darah pada bacaan 27. Bacaan normal 6 dan 7.

"Doktor pun terkejut dan cakap bacaan memang tinggi Jadi saya ditahan di wad sebelum dibenarkan keluar pada sebelah petang hari yang sama," ujarnya ketika mengimbas kisahnya didiagnos kencing manis, Jun lalu.

kencing manis 2

Aishah melakukan rutin pemeriksaan kandungan gula dalam darah selepas didiagnos penyakit kencing manis.

Senang disapa sebagai Aishah, wanita ini mengakui dia berubah menjadi murung dan agak emosi saat menerima perkhabaran tersebut.

"Apabila dah disahkan dapat kencing manis, saya imbas balik beberapa perkara yang dilalui sebelum tahu berita itu. Rupanya saya dah dapat simptom tapi tak tahu itu simptom kencing manis.

ARTIKEL BERKAITAN: Jaga makan, amal gaya hidup sihat, pemuda terduduk didiagnos sakit buah pinggang tahap akhir pada usia 24 tahun!

ARTIKEL BERKAITAN: Hidup sihat selama 21 tahun, tiba-tiba didiagnos hidap kanser paru-paru stage 3! Siswa UiTM rasa terduduk, dunia jadi gelap

"Pertama, berat badan turun drastik sebanyak 11 kilogram (kg). Ingatkan sebab puasa. Keduanya, luka lambat sembuh dan ketiga kerap kencing. Sampai tahap kalau berjalan jauh, saya pakai lampin pakai buang.

"Yang simptom kerap kencing ni selepas raya. Ada juga terfikir kenapa jadi macam ni, tapi orang mungkin sebab mengandung namun bila check, negatif pula," ujarnya yang menetap di Damansara.

Sungguhpun pada mulanya sukar menerima hakikat menjadi pesakit kencing manis pada usia muda, Aishah mengakui ia sebenarnya berpunca daripada tabiat buruknya yang gemar mengambil minuman manis.

Bapa saya pun ada kencing manis tapi saya rasa tabiat buruk saya yang menjadi punca utama.

AISHAH SHAKURA

"Saya jadi gemar minum air berkarbonat bermula awal tahun ini. Kalau makan tengah hari dan makan malam, memang akan minum air tu. Itu belum kira waktu senggang lagi. Dalam peti ais mesti ada standby juga.

"Bapa saya pun ada kencing manis tapi saya rasa tabiat buruk saya yang menjadi punca utama," ujar wanita ini lagi.

Buat masa ini, Aishah berkata dia sudah pun mengikuti saranan doktor untuk mengawal pengambilan makanan atau minuman supaya penyakitnya dapat dikawal.

"Saya kurangkan makan nasi, ambil sekali saja dalam kuantiti segenggam... sayur kena lebih dan banyakkan buah. Saya juga dah cut terus air manis... hanya minum air masak.

air gas 1

Tabiat mengambil minuman berkarbonat dengan kerap juga boleh menjadi salah satu penyumbang kencing manis. -Gambar hiasan

"Alhamdulillah setakat ini bacaan gula dah nak turun kepada normal. Selain itu saya makan ubat-ubatan yang diberi.

"Saya kongsi video pengalaman didiagnos kencing manis pada usia muda untuk berkongsi pengalaman dan memberi kesedaran kepada orang lain.

"Kepada yang muda, jangan terlalu ikut trend nak cuba makanan viral... kawal juga kuantiti gula. Kita tak sedar benda tu ada dalam diri kita. Apabila dah kena, memang terus kena ubah semuanya demi kesihatan," akhirnya.

Sehingga kini video yang dikongsi Aishah di TikTok meraih lebih 333,000 jumlah tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain