SEORANG guru mendakwa dia terpaksa bekerja dan hadir ke sekolah biarpun sedang mengalami masalah kesihatan gara-gara permohonan cuti sakitnya ditolak oleh pengetua.
Prakash Bhoi, seorang guru Matematik di sebuah sekolah di Odisha, India, berkata dia tidak sihat selepas menghadiri pengebumian datuknya dan memohon cuti sakit untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun dakwa Prakash, pengetua sekolah menolak permohonan cuti sakitnya, menyebabkan dia terpaksa bekerja tanpa sebarang rawatan perubatan.
"Hospital kerajaan jauh, dan saya tidak mempunyai wang untuk ke hospital swasta. Tanpa rawatan, saya terpaksa bekerja hingga lewat petang. Walaupun sudah banyak kali memohon, pengetua tetap menolak permohonan saya," kata Prakash.
Tambah Prakash, keadaan kesihatannya tidak menunjukkan tanda untuk pulih walaupun selepas makan ubat.
Namun apabila dia sekali lagi memohon cuti sakit, pengetua tetap menolaknya dan memberi alasan bahawa kehadirannya amat diperlukan untuk persiapan peperiksaan.
Dalam keadaan kritikal, Prakash menerima rawatan IV drip (intravenous drip) dan hadir ke sekolah.
Bagaimanapun rakan sekerjanya kemudian segera menghantarnya ke hospital selepas melihat keadaan kesihatannya yang semakin teruk.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat kejadian tersebut dan memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil jika ada pihak yang didapati bersalah. -Agensi


