PERBUATAN kejam seorang lelaki yang membunuh isterinya pada tahun 2022 terbongkar apabila mayat pasangannya itu ditemukan di dalam tangki kumbahan di belakang rumah pada Rabu.
Mangsa, hanya dikenali sebagai AM ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan hanya tinggal rangka, namun pakaiannya seperti jaket dan baju masih belum terurai.
Dalam kejadian di Bekasi, Indonesia itu, suspek dikenali sebagai Sunardi, 44, dikatakan pulang ke rumah terbabit selang dua minggu sekali untuk berdoa di atas tangki kumbahan berkenaan, sebagai penghormatan kepada isteri yang dibunuh.
Jurucakap polis, Kombes Mustofa berkata, motif pembunuhan adalah akibat rasa cemburu dan suspek mengesyaki mangsa bermain kayu tiga di belakangnya.
Mangsa merupakan isteri pertama suspek, selepas berkahwin, mereka berpindah ke daerah Bekasi dari kampung asal mereka di Banyumas, Jawa Tengah, Indonesia.
Pihak keluarga ada cuba mencari mangsa, namun suspek menipu dengan memaklumkan dia tidak mengetahui tentang keberadaan isterinya, seolah-olah hilang tanpa jejak.
"Apabila suspek dan mangsa berpindah ke rumah baharu ini, tiada sesiapa pun yang diberitahu, termasuk ahli keluarga terdekat.
"Disebabkan itu, penipuan suspek tidak menimbulkan sebarang keraguan kepada keluarga mangsa," ujar Mustofa.
Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat. -Agensi