SEORANG pencuri barangan kemas sejak dua dekad akhirnya ditahan polis pada Selasa.
Suspek berusia 37 tahun itu ditahan bagi kes kecurian barangan kemas bernilai Rs 14 lakh (RM84,000) pada awal bulan lalu.
Polis mengenal pasti suspek berdasarkan rakaman lebih 200 kamera litar tertutup (CCTV) dengan 181 gram barangan kemas dan senjata api turut dirampas.
Kejadian dan tangkapan berlaku di Bengaluru, India.
"Dia melakukan jenayah itu sejak 2003 ketika masih di bawah umur. Pada 2009, dia sudah menjadi pencuri profesional dengan mengumpul kekayaan jutaan ringgit.
"Sekitar 2014 dia menjalin hubungan cinta dengan seorang pelakon dengan berbelanja mewah dengan membina rumah bernilai Rs 3-crore (RM1.8 juta) dan akuarium berharga Rs 22 lakh (RM132,000)," kata polis.
Suspek pernah ditahan pada 2016 dan dipenjarakan selama enam tahun di Penjara Pusat Sabarmati, Ahmedabad.
Setelah dibebaskan, dia kembali mencuri, yang membawa kepada penahanan seterusnya oleh polis.
"Dia seorang yang gemar berkawan dengan wanita dan menghabiskan banyak wang untuk mereka.
"Dia bergerak seorang diri, memerhatikan rumah kosong dan menyasarkan mereka dengan mudah.
"Dia juga pemegang tali pinggang hitam karate dan mempunyai hubungan dengan beberapa pelakon,” menurut polis.-Agensi