suria

Lokasi nahas helikopter bawa Presiden Iran masih belum ditemui, cuaca buruk sukarkan operasi SAR

Keadaan cuaca yang teruk dan kabus tebal telah menyukarkan lagi pencarian lokasi nahas. -Foto Reuters

PASUKAN penyelamat masih belum menemui lokasi sebenar nahas helikopter yang membawa Presiden Iran Ebrahim Raisi, kata ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, Pir-Hossein Koulivand, kepada media negara berkenaan, TV IRINN

Terdahulu, seorang komander tentera berkata lokasi sebenar pesawat itu telah dikesan melalui isyarat daripada helikopter dan telefon bimbit seorang daripada penumpang helikopter berkenaan.

Kru penyelamat masih mencari di sekitar tempat isyarat dikesan, kata Koulivand.

ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter bawa Presiden Iran, menteri terbabit nahas... Pasukan SAR dikerah ke lokasi kejadian

Keadaan cuaca yang teruk dan kabus tebal telah menyukarkan lagi pencarian lokasi nahas, lebih-lebih lagi di wilayah pergunungan terpencil, ketika awal pagi waktu tempatan.

Terdahulu media melaporkan sebuah helikopter yang membawa Raisi dan menteri luarnya, Hossein Amirabdollahian serta beberapa pegawai kerajaan terbabit dengan nahas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Raisi, 63, dilaporkan dalam perjalanan pulang dari melawat wilayah Azerbaijan Timur, di mana beliau merasmikan sebuah projek empangan.

Cuaca buruk dengan keadaan kabus yang tebal serta keadaan muka bumi lokasi nahas menyukarkan lagi operasi menyelamat dilakukan.

Ketika ini operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan. -CNN

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain