suria

Bayi berusia lima hari maut selepas ‘dijemur’ 30 minit di bawah cahaya matahari, keluarga dakwa ikut nasihat doktor

Bayi malang berkenaan dilaporkan meninggal dunia kerana strok haba. -Gambar hiasan

SEORANG bayi perempuan berusia lima hari meninggal dunia selepas diletakkan di bawah cahaya matahari selama hampir 30 minit oleh ibunya, didakwa atas nasihat doktor.

Kejadian tersebut berlaku di Hospital Sri Sai, Uttar Pradesh, India.

Dilaporkan, ibu kepada bayi malang berkenaan bersalin menerusi kaedah C-section.

Pada 15 Mei, bayi tersebut didapati mempunyai masalah kesihatan dan doktor menasihatkan keluarganya supaya meletakkan bayi mereka di bawah sinar matahari secara langsung selama setengah jam.

Menurut keluarga tersebut, mereka meletakkan bayi itu di bumbung hospital pada pukul 11.10 pagi.

Selepas hampir 30 minit, mereka membawa bayi itu masuk ke dalam namun didapati meninggal dunia tidak lama kemudian.

Menurut pakar perubatan, pendedahan matahari adalah amalan biasa untuk mencegah jaundis bagi bayi. Tetapi, ia mesti dilakukan dengan berhati-hati, terutamanya semasa suhu tinggi.

Difahamkan, punca kematian bayi itu adalah disebabkan strok haba dan pendedahan berlebihan pada suhu tinggi.

Selepas kejadian tersebut, doktor yang memberikan nasihat kepada keluarga bayi malang itu dilaporkan melarikan diri dari hospital.

Menurut Ketua Pegawai Perubatan (CMO) hospital berkenaan, Dr RC Gupta, siasatan telah dilancarkan susulan kejadian berkenaan. -Indiatoday

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain