suria

Covid-19: Ribuan pengunjung terperangkap selepas Disney Resort Shanghai henti operasi secara mengejut

Pengunjung dilarang meninggalkan Disney Resort Shanghai sehingga keputusan ujian menunjukkan negatif. Foto: Reuters

DISNEY Resort Shanghai menghentikan operasinya serta-merta pada Isnin, susulan mematuhi langkah pencegahan Covid-19.

Ekoran langkah tersebut, semua pengunjung dilarang keluar dari kawasan itu dan hanya dibenarkan beredar sekiranya keputusan pemeriksaan Covid-19 menunjukkan negatif.

Taman tema itu memaklumkan ia turut menghentikan operasi kawasan sekitarnya termasuk premis beli-belah, bagi mengekang penularan wabak.

Kerajaan Shanghai menerusi akaun WeChat rasminya memberitahu taman tema itu menghalang orang ramai daripada masuk atau keluar dan semua pelawat di dalam tapak itu perlu menunggu keputusan ujian mereka sebelum keluar.

Kira-kira 34,000 pelawat yang berada di dalam taman tema menjalani ujian besar-besaran, dengan kakitangan lengkap mengenakan peralatan pelindungan peribadi (PPE) mengawal pintu taman tema, sebelum mereka boleh keluar.

Pihak berkuasa juga meminta orang ramai yang melawat taman tema itu sejak 27 Oktober untuk melakukan ujian Covid-19 selama tiga hari berturut-turut dan mengekalkan penjarakan sosial.

Shanghai melaporkan 10 kes penularan tempatan pada 30 Oktober, yang kesemuanya dikatakan adalah kes tanpa gejala. - Reuters

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain