suria

Kecoh babi hutan serang madrasah! Guru, dua murid cedera disodok

Babi hutan adalah seekor haiwan yang sangat agresif. Gambar hiasan

KECOH apabila dua ekor babi hutan menceroboh masuk ke ruang kelas di Madrasah Tsanawiyah Negeri (MTsN) ketika proses pembelajaran sedang berlangsung.

Seorang guru dan dua pelajar mengalami kecederaan dalam kejadian itu yang berlaku di Bener Meriah, Aceh, Indonesia.

"Kejadian babi masuk sekolah itu terjadi petang kelmarin. Tiga orang mengalami luka dan pendarahan akibat disodok babi," kata Ketua Polis Bener Meriah AKBP Indra Novianto, memetik Detik, pada Rabu.

Ruang kelas MTsN yang dimasuki babi hutan itu digunakan untuk sementara waktu oleh murid di Madrasah Ibtidaiyah Negeri I Bener Meriah.

Para pelajar ditempatkan di situ kerana sekolah mereka sedang dalam proses baik pulih.

Menurut Indra, ketika babi masuk ke kelas, pelajar panik dan menjerit sambil berlari keluar dari kelas. Bagaimanapun haiwan tersebut sempat menyerang dua pelajar dan seorang guru sehingga cedera.

Ketiga-tiga mangsa dibawa ke klinik berhampiran dan Indra berkata mereka dalam keadaan baik.

Indra percaya babi itu masuk ke sekolah disebabkan ada penduduk sedang berburu. - Detik

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Babi hutan, disodok, cedera, diserang, madrasah

Artikel Lain