suria

Jet pejuang tentera pintas pesawat bawa orang awam, apa yang berlaku sebenarnya?

Penumpang terkejut apabila penerbangan mereka dipintas oleh sebuah jet pejuang.

PENUMPANG yang menaiki pesawat easyJet dari Gatwick ke Menorca terpinga-pinga selepas penerbangan mereka dipintas oleh jet pejuang Sepanyol berikutan isu "kebimbangan keselamatan".

Video dramatik yang tular di Twitter menunjukkan jet pejuang F18 itu terbang dalam jarak yang cukup dekat dengan pesawat Airbus A319.

"G-EZAO (pesawat easyJet) dipintas oleh Tentera Udara Sepanyol dalam perjalanan ke Menorca. Penumpang belum dibenarkan keluar lagi," tulis Ian Leslie di Twitter.

Pesawat itu kemudiannya diiringi sebelum ia mendarat di pulau Menorca, 30 minit lewat daripada jadual asalnya.

Pesawat itu juga ditahan selama empat jam bagi menjalani proses pemeriksaan.

Mengesahkan kejadian itu dalam satu kenyataan, jurucakap easyJet berkata: "easyJet boleh mengesahkan penerbangan EZY8303 dari London Gatwick ke Menorca diiringi oleh pesawat tentera semasa mendarat di Menorca dan ditangguhkan penerbangan kerana pemeriksaan keselamatan berjaga-jaga. Penumpang telah turun dari kapal.

"Keselamatan penumpang dan anak kapal sentiasa menjadi keutamaan tertinggi easyJet dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penumpang atas kerjasama mereka," ujar jurucakap itu.

Difahamkan, ramai orang mengulas mengenai video tular itu, tak kurang juga yang tampil dengan pelbagai teori mengapa pesawat itu dipintas.

Ada yang turut berpendapat bahawa ia dipintas kerana berlaku ancaman bom palsu.

Namun, dakwaan itu sehingga kini masih tidak dijelaskan oleh pihak berkuasa. - Daily Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain