suria

Tubuh jadi kurus kering, ratusan burung laut tiba-tiba mati tepi pantai... petanda apa lagi?

Terdapat kebimbangan jika kejadian itu akan memberi kesan terhadap bilangan pembiakan tahun depan.Foto: SWNS.

PENEMUAN ribuan bangkai ikan di Pantai Coliumu, Chile pada Februari lalu ternyata mengejutkan penduduk setempat.

Kali ini, lebih 100 ekor burung laut jenis paruh pendek ditemui mati di perairan pantai timur laut Scotland, dan kepulauan Orkney dan Shetland sejak tiga minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bangkai memenuhi kawasan pantai, punca ribuan ikan naik ke darat terus jadi misteri

Menurut laporan, burung-burung itu kelihatan kurus, menunjukkan mereka tidak dapat mencari makanan yang mencukupi semasa memburu di laut.

Kini terdapat kebimbangan jika kejadian itu akan memberi kesan yang besar terhadap bilangan pembiakan tahun depan.

Kes-kes tersebut direkodkan oleh Pusat Ekologi dan Hidrologi United Kingdom (UKCEH), yang menjalankan kajian pemantauan jangka panjang untuk mengesan kesan perubahan alam sekitar terhadap populasi burung laut UK.

Dr Francis Daunt, ahli ekologi burung laut di UKCEH, berkata, ini merupakan salah satu bangkai burung laut paling ketara yang pernah dilihat sejak pihaknya menjalankan kajian hampir 50 tahun lalu.

"Ramai orang yang menjumpai burung itu berkata mereka kurus, yang menunjukkan mungkin terdapat masalah dalam rantai makanan marin," ujarnya lagi.

Laporan itu datang hanya beberapa minggu selepas laporan utama oleh British Trust for Ornithology yang memberi amaran bahawa 90 peratus burung laut Britain boleh pupus menjelang 2050, disebabkan krisis iklim yang semakin teruk yang menjejaskan bekalan makanan burung.

Ia juga berlaku selepas beberapa ribu guillemot dan razorbill ditemui mati di sepanjang pantai timur Great Britain pada musim luruh.

Setakat ini, kaitan antara kejadian-kejadian itu masih belum dapat dipastikan. - Indipendent.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain