suria

Lima singa di Zoo Singapura positif Covid-19

Lima singa di Zoo Singapura positif Covid-19

SEEKOR singa Afrika di Zoo Singapura diuji positif Covid-19 selepas menunjukkan simptom-simptom awal penyakit tersebut, kata Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) pada Rabu.

Ini berlaku sehari selepas berita bahawa empat singa Asia di Safari Malam mereka telah dijangkiti virus tersebut.

"Sampel najis yang diambil dari singa Afrika di Zoo Singapura yang menunjukkan tanda-tanda sakit pada 8 Nov telah diuji positif untuk virus SARS-CoV-2, melalui PCR," kata AVS.

Sembilan singa Asia di Safari Malam dan lima singa Afrika di Zoo Singapura telah diasingkan, termasuk lima yang dijangkiti Covid-19.

"Semua singa diasingkan dalam kadang masing-masing.

"Kami akan terus bekerjasama dengan Kumpulan Hidupan Liar Mandai untuk memantau dengan teliti kesihatan singa, termasuk pensampelan dan ujian bahan najis mereka untuk virus SARS-CoV-2," kata AVS.

AVS berkata menurut Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE), pada masa ini tiada bukti bahawa haiwan memainkan peranan dalam penyebaran Covid-19 kepada manusia.

Walau bagaimanapun, terdapat laporan "sporadik dan terpencil" mengenai haiwan yang diuji positif untuk virus itu di negara lain, selepas berhubung rapat dengan orang yang dijangkiti Covid-19.

Empat singa Asia di Safari Malam disahkan positif selepas terdedah kepada pekerja yang dijangkiti di taman hidupan liar itu.

Kumpulan Hidupan Liar Mandai berkata pada hari Selasa bahawa tiga penjaga dari bahagian Night Safari Carnivore telah diuji positif untuk Covid-19.

Selepas dua penjaga diuji positif semasa tidak bertugas, ujian dijalankan ke atas ahli pasukan yang pernah berhubung dengan mereka.

Pekerja ketiga, yang tidak menunjukkan gejala, kemudiannya diuji positif di tempat kerja dan telah berehat daripada tugasnya.

"Mereka menerima pengesahan ujian PCR positif pada 8 Nov," kata Kumpulan Hidupan Liar Mandai.

Pameran singa Asia di sepanjang laluan trem di Safari Malam telah ditutup sejak Ahad selepas empat singa menunjukkan gejala seperti batuk, bersin dan lesu, mendorong pihak berkuasa untuk menjalankan ujian Covid-19. - CNA

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

singa, positif, covid-19, zoo singapura

Artikel Lain