suria

Pendaki sesat abaikan panggilan telefon pasukan penyelamat sebab nombor tidak dikenali

Pendaki sesat abaikan panggilan telefon pasukan penyelamat sebab nombor tidak dikenali

PASUKAN penyelamat Colorado ada satu nasihat penting untuk pendaki atau sesiapa sahaja yang mendapati diri mereka tersesat di kawasan pergunungan - jawab panggilan telefon anda.

Pasukan Mencari dan Menyelamat Lake County (LCSAR) berkata, mereka menerima satu laporan minggu lalu mengenai seorang pendaki yang dikatakan gagal untuk pulang selepas melakukan pendakian di Gunung Elbert.

Pendaki tersebut dikatakan bertolak pada pukul 9 pagi pada 18 Oktober dan tidak kembali ke pusat penginapannya sehinggalah pukul 8 malam yang sama, kata LCSAR di halaman Facebooknya.

Pasukan penyelamat kemudiannya cuba menghubungi telefon bimbit pendaki tersebut beberapa kali, namun tidak ada sesiapa yang menjawab panggilan.

Lima ahli pasukan LCSAR dihantar untuk mencari pendaki tersebut di kawasan yang orang ramai sering tersesat namun operasi pencarian dibatalkan pada pukul 3 pagi.

Mereka kemudian menyambung semula sesi pencarian pada pukul 7 pagi sebelum menerima panggilan pada pukul 9.30 pagi yang memaklumkan bahawa pendaki tersebut telah kembali ke tempat penginapannya.

Pendaki yang tidak dikenali itu dikatakan tidak sedar bahawa pasukan penyelamat sedang mencarinya.

"Satu perkara yang boleh diambil perhatian adalah subjek tidak mengendahkan panggilan telefon kami kerana tidak kenal akan nombor tersebut.

"Sekiranya anda terlewat daripada tentatif jadual anda dan menerima beberapa panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali, tolong jawab panggilan tersebut, itu mungkin pasukan penyelamat yang ingin pastikan bahawa anda selamat!," tulis LCSAR.

Gunung Elbert terletak kira-kira 125 batu barat daya Denver dan merupakan puncak tertinggi di Colorado dengan ketinggian 14,433 kaki. Ia adalah tempat yang popular untuk pendaki dan dikatakan sebagai pendakian yang agak mudah.

LCSAR berkata pendaki tersebut tersesat pada waktu tengah malam namun akhirnya berjaya kembali semula ke laluan asal. - CNN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain