suria

20 tahun lelaki Pakistan tak tahu apa sakitnya, sangka hospital Hong Kong tiada penterjemah

Gambar hiasan.

SELAMA hampir dua dekad, Ali (bukan nama sebenar) tidak pernah mengetahui secara jelas bagaimana dirinya sakit atau bagaimana dia dirawat, meskipun melakukan pemeriksaan susulan dari semasa ke semasa di hospital.

Pengawal keselamatan yang berbahasa Urdu, dan hanya sedikit fasih dalam bahasa Inggeris dan Cina itu, tidak menyedari bahawa hospital-hospital umum di Hong Kong menyediakan khidmat penterjemah secara percuma.

Ia bermula pada Januari 2017, Ali pengsan di tempat kerja dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth di Yau Ma Tei.

Dia tidak mengetahui apakah pemeriksaan yang dilakukan terhadapnya mahupun keputusannya. Dia hanya diberitahu dia mempunyai "gula darah".

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menghubungi kakitangan hospital untuk terjemahan, tetapi jurubahasa tidak datang sehingga hari terakhir dia dimasukkan ke hospital.

Ali berkata, jururawat tidak berminat untuk menempah perkhidmatan itu, dengan mengatakan sudah cukup kalau dia boleh bercakap sedikit dalam bahasa Inggeris.

"Saya berasa tidak berupaya," kata Ali, yang didiagnosis dengan penyakit kencing manis dan jantung.

"Dalam beberapa hari pertama, saya melihat pendidikan saya yang lemah dan diri yang tidak begitu fasih berbahasa Inggeris. Saya mahu bercakap banyak perkara tetapi tak boleh."

Ali yang datang ke Hong Kong dari Pakistan pada 1994, merupakan antara 584,000 orang dari etnik minoriti, menjadikan komuniti itu lapan peratus daripada penduduk bandar tersebut.

Menurut anggaran yang dibuat oleh Kowloon Diocesan Pastoral Centre for Workers iaitu NGO yang membantu Ali, kira-kira setengah daripada mereka tidak fasih berbahasa Inggeris atau Cina atau memerlukan bantuan.

Pihak Berkuasa Hospital yang mengendalikan hospital awam dan klinik pesakit luar di bandar itu, membayar sebuah kumpulan yang tidak berorientasikan keuntungan untuk perkhidmatan terjemahan.

Ia bagaimanapun perlu ditempah oleh kakitangan perubatan berbanding dilakukan sendiri oleh pesakit. - South China Morning Post

Artikel Lain