suria

Impian musnah! Baru dapat tawaran kerja di Nasa tapi ditarik balik selepas lucah dengan 'otai' di Twitter

-foto Getty

SEORANG pelatih Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (Nasa) telah menusnahkan peluangnya untuk bergelar ahli sains roket Amerika yang hebat hanya kerana kelucahannya.

Dia telah menulis tweet lucah kepada seorang jurutera veteran.

Segalanya bermula apabila seorang pengguna Twitter yang hanya dikenali sebagai @NaomiH_official dilaporkan sangat gembira ditawarkan pengalaman kerja sebagai pelatih di Nasa yang sudah lama diimpikannya.

Dia yang mengumumkan perkara itu dengan menulis 'Everyone shut the f*** up. I got accepted for a Nasa internship (saya diterima sebagai pelatih Nasa).'

Tweetnya itu telah menarik perhatian Homer Hickam, seorang pengarang, veteran Vietnam dan bekas jurutera yang pernah melatih angkasawan pertama Jepun, yang membalas tweet itu dengan satu perkataan: 'Bahasa'.

Bagaimanapun tweet itu dianggap sebagai satu provokasi oleh Naomi yang kemudian membalasnya dengan ayat lucah.

Malang baginya kerana Hickam adalah salah seorang ahli dalam Majlis Angkasa Negara yang mengawasi Nasa.

Tidak lama kemudian tawaran latihan praktikal itu ditarik balik.

Ini menimbulkan pelbagai maklum balas daripada pengguna Twitter lain yang kebanyakannya marah dengan tindakan Hickham dan menyerang peribadinya.

"Saya rasa simpati kepada @naomiH_official," artis Thaily Brimstone menulis di Twitter.

"Siapa yang mahu 'suara' mereka diperiksa oleh orang tua di internet?"

"Jika @HomerHickam adalah seorang profesional & membantah bahasa itu, dia boleh menghubungi mereka secara persendirian dan minta mereka jangan terlalu lantang berbanding melakukannya terang-terangan."

Pengguna Twitter yang lain berkata: "Orang tua ini perlu diharamkan dalam talian.

Hickam, yang telah memadam komennya tidak lama selepas itu, cuba mendapatkan kembali pekerjaan Naomi.

Paparan skrin video Hickham di Youtube.

Bekas jurutera Nasa itu menulis kenyataan panjang dalam blognya.

"Saya seorang veteran Vietnam dan tidak tersinggung dengan perkataan F. Walau bagaimanapun, apabila saya melihat Nasa dan perkataan itu digunakan bersama-sama, saya merasakan orang muda ini mungkin menghadapi masalah jika Nasa melihatnya jadi saya menulis satu perkataan kepadanya 'bahasa' dan berharap ia tidak berpanjangan.

"Tidak lama kemudian, kawan-kawannya melenting dan berkata banyak perkara yang tidak baik, saya segera memadam komen dan menyekat semua yang berkenaan.

"Kemudian, saya dapat tahu bahawa dia telah hilang tawaran untuk menjadi pelatih Nasa. Saya tak ada kena mengena, malah tidak boleh memecat atau mengambil pekerja di agensi itu dan tidak boleh cakap apa-apa pun tentang pengambilan pekerja.

"Ia disebabkan oleh hashtag Nasa yang kawan-kawannya guna untuk dapatkan perhatian agensi itu setelah komen-komen saya sudah lama dipadam.

"Dia menghubungi saya dengan permintaan maaf yang tidak perlu, tetapi saya menerimanya dengan hati terbuka.

"Selepas bercakap dengannya, saya yakin dia layak mendapat kedudukan dalam industri aeroangkasa dan saya berusaha melakukan yang terbaik untuk dia mendapat tempatnya semula yang telah hilang.

"Saya juga telah berbincang dengan orang-orang yang mempunyai kaitan dengan latihannya dan memastikan bahawa rekodnya tidak dihitamkan."

Naomi kini telah menutup akaun Twitternya berikutan kejadian itu. -MetroUK

Nasa, Naomi, latihan praktikal

Artikel Lain