suria

Tak sampai-sampai, walau sudah jalan kaki satu setengah tahun untuk buang abu mayat kekasih

-foto FB Chomthong Chiangmai

DEMI menunaikan janji yang dibuat kepada teman wanitanya yang telah meninggal dunia, seorang lelaki sanggup berjalan kaki sejauh 1,541 kilometer untuk menyebarkan abu mayatnya di atas Doi Inthanon, puncak tertinggi di Thailand.

Dia juga mendapat tiga 'rakan' untuk menemaninya sepanjang perjalanan.

Suksit Suppantamat, 39, yang berasal dari wilayah Udon Thani, tidak pernah sampai ke Doi Inthanon, tetapi selepas mendengarnya, dia berjanji kepada teman wanitanya untuk membawanya ke sana jika mempunyai cukup wang.

Malangnya, kekasihnya itu meninggal dunia pada Oktober 2016.

Suppantamat yang masih tidak mampu menunaikan janjinya kerana tidak cukup wang tidak berputus asa, sebaliknya melakukan satu perjalanan epik untuk memenuhi janjinya dengan berjalan kaki ke Doi Inthanon.

Ketika wartawan tempatan bertemu dengannya sedang menolak kereta sorong yang diletakkan barang-barang miliknya di wilayah Chiang Mai, semalam, Suppantamat memberitahu mereka dia memulakan perjalanannya dari wilayah selatan Trang pada Januari tahun lalu, menurut Komchadluek.

Ini bermakna dia telah berjalan selama satu setengah tahun.

-foto FB Chomthong Chiangmai

Dia dilaporkan berkhemah di mana sahaja tempat sesuai setiap malam, sama ada di tepi jalan, kuil atau tanah perkuburan.

Kadang-kadang, penduduk tempatan di kampung-kampung yang dilaluinya akan menawarkan makanan atau air kepadanya.

Sepanjang perjalanan, dia ditemani tiga haiwan jalanan yang menyertai perjalanannya, menurut beberapa saluran media Thailand.

Yang pertama ialah seekor anjing yang ditemuinya di Samut Prakan, yang dinamakannya 'Krachow'.

Kedua, seekor anjing lain yang ditemui di Phitsanulok bernama 'Namo'.

Dan ketiga, seekor anak kucing hitam yang dilaporkan dijumpai dua hari lalu, yang ditinggalkan di rumput di tepi jalan.

-foto FB Chomthong Chiangmai

Dia memberitahu Thairath bahawa dia mengambil kucing itu kerana 'jika bukan dirinya, siapa lagi yang akan menjaganya?'

Apabila ditanya mengenai teman wanitanya yang meninggal dunia, air matanya terus mengalir.

"Saya dan teman wanita saya tidak pernah terpisah," katanya.

"Kami bekerja bersama malah berehat juga pada masa yang sama. Mungkin suatu hari nanti saya akan berhenti menangis.

"Saya tidak tahu sama ada cinta boleh diukur. Saya terus memikirkannya semasa saya berjalan. Mungkin ini cara saya menghargainya.

"Apa yang saya tahu, saya mahu melakukan ini untuk orang yang saya sayangi."

abu mayat, jalan kaki, kekasih

Artikel Lain