suria

Gara-gara video tarian tiang, guru digantung tugas

SEORANG guru sekolah menengah digantung tugas selepas video tarian tiang yang dijadikan rutin kecergasannya diserahkan kepada majikan baharunya.

Kandice Mason diarahkan cuti dengan gaji oleh West Hoke County Middle School di Utara Carolina, beberapa hari sebelum dia dijadualkan bekerja selepas video yang dimuatnaik di akaun Facebooknya dibocorkan.

Ia menunjukkan Mason yang juga bekerja sebagai pengajar tarian tiang secara sambilan, menari di sekitar palang berwarna perak di biliknya sambil memakai topi dan bikini.

Ibu tunggal dua anak itu yang mempunyai Ijazah Sarjana Psikologi, Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan sijil phlebotomy berkata dia kecewa dengan keputusan penggantungan tersebut.

"Saya bekerja keras untuk mencuba dan memastikan saya boleh menyediakan kehidupan lebih baik kepada anak-anak perempuan saya.

"Kehidupan kita dibahayakan hanya kerana melakukan apa yang kita sukai.

"Tarian tiang adalah salah satu cara saya mengekalkan bentuk badan ideal. Itu cara saya luangkan masa untuk diri sendiri.

"Saya tidak pernah malu melakukan tarian tiang. Bagi saya ia adalah seni. Saya tidak melihat ia sebagai sesuatu yang negatif," katanya.

Mason bagaimanapun berkata video itu tidak dibocorkan oleh ibu bapa atau pelajar.

"Ia dilakukan seseorang yang berniat jahat dan cuba membuatkan saya kelihatan seperti orang jahat," katanya.

Mason berkata dia turut teruja untuk bertemu pelajar gred enam dan telah diberikan sebuah kelas.

Dia didakwa melanggar dasar sekolah tersebut yang menyatakan:"Sebagai model untuk sistem pendidikan di sekolah, pelajar mahupun pekerja bertanggungjawab menjaga tingkah laku mereka semasa di khalayak ramai."

tarian tiang, video, guru

Artikel Lain