suria

Zuckerberg rugi RM81 bilion dalam masa 2 jam, jatuh tangga ke-8 lelaki terkaya dunia

PENGASAS laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg kerugian hampir RM81 bilion (AS$20 bilion) dalam tempoh dua jam, pada Rabu.

Dia yang juga ketua pegawai eksekutif laman sosial itu menyaksikan kejatuhan kekayaan bersih laman itu sebanyak RM76.5 bilion (AS$18.8 bilion) sekali gus menyebabkan kedudukannya sebagai lelaki keempat terkaya di dunia dalam senarai Forbes merudum ke tangga kelapan.

Dia sebelum ini menduduki tangga keempat dalam senarai itu dengan jumlah kekayaan sebanyak RM334 bilion (AS$82.4 bilion).

Kejatuhan itu berlaku gara-gara saham Facebook menjunam sebanyak RM609 bilion (AS$150 bilion) selepas ia gagal mencapai sasaran pertumbuhan pengguna oleh Wall Street.

Saham Facebook susut 16 peratus kepada RM739.29 (AS$181.89) pada pukul 5.30 petang, dedah Forbes.

18 minit selepas itu, ia jatuh kepada RM678.77 (AS$167) sekali gus menyebabkan kekayaan bersih Zuckerberg susut kepada RM258.50 bilion (AS$63.6 bilion).

Ia turut berpunca dengan pendedahan skandal kebocoran data melibatkan jutaan pengguna Facebook baru-baru ini.

Facebook mencatat 2.23 bilion jumlah pengguna aktif bulanan, kurang dari sasaran sebanyak 2.25 bilion pengguna.

Di Eropah misalnya, pengguna Facebook berkurang dari 377 juta kepada 376 juta pengguna. -DailyMail

Artikel Sebelum

Artikel Lain