suria

'Bos Terbaik Di Balkans' Belanja Pelancongan, Beri Kereta Percuma

CAKAN (tengah) bergambar bersama empat pekerjanya yang menerima kereta percuma. - AGENSI

SUDAH banyak kisah tentang majikan menghargai staf mereka dengan memberikan pelbagai ganjaran lumayan seperti percutian dan dibawa melancong.

Kini giliran ahli perniagaan dari Montenegro, Radomir Novakovic Cakan menjadi perhatian media apabila digelar sebagai 'bos terbaik di Balkans' atas kebaikan yang ditunjukkan kepada pekerjanya.

Cakan yang memiliki syarikat rangkaian sukan terbesar di Montenegro, Cakan Sports, baru-baru ini menyertai dunia politik, amat dikenali dalam kalangan pekerja sebagai seorang bos yang setia dan rapat dengan staf.

Ahli perniagaan itu percaya bahawa syarikatnya hanya boleh maju jika beliau memastikan pekerja gembira dan disebabkan itu, ganjaran istimewa diberikan kepada mereka.

Kali pertama Cakan membuat kejutan adalah pada 2012 apabila beliau menawarkan empat buah kereta model baharu iaitu dua buah VW Golf 6 dan 2 VW Polo, lengkap dengan insurans.

Ganjaran itu diberikan kepada empat pekerjanya yang paling lama berkhidmat dan paling berdedikasi.

Dua tahun kemudian, Cakan membelanja seorang pekerjanya menonton Piala Dunia di Brazil selepas mengetahui stafnya itu mengumpul duit demi memenuhi impiannya.

Malah pada tahun lalu, Cakan menghantar 14 pekerjanya menikmati percutian di Bahamas selain menawarkan percutian mewah menaiki kapal layar di Mediterranean.

Ditanya mengapa beliau tidak menggunakan cara yang lebih murah untuk memberi motivasi kepada pekerjanya seperti menaikkan gaji atau bonus, Cakan berkata, duit bukan perkara yang kekal.

"Duit sentiasa datang dan pergi, tetapi memori tidak begitu.

"Saya memiliki seorang kawan yang mengendalikan agensi pelancongan dan meminta dia menawarkan harga terbaik bagi memastikan pekerja saya bercuti dan bergembira," katanya. - ODDITY CENTRAL

Radomir Novakovic Cakan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain