suria

Keluarga Dakwa Masjid Enggan Urus Jenazah Undi Ahok

JAKARTA: Kempen pilihan raya Gabenor Jakarta yang semakin panas telah mempengaruhi institusi masjid apabila ada yang menolak untuk menguruskan jenazah keluarga yang mengundi Basuki "Ahok" Tjahaja Purnama.

Ahok yang juga Gabenor Jakarta kini masih berdepan perbicaraan kerana menghina Islam.

Sebuah keluarga di Setiabudi di Jakarta Selatan mengaku jenazah ibu mereka tidak diuruskan masjid di situ kerana mereka mengundi Ahok.

Bagaimanapun, imam masjid berkenaan menjelaskan, jenazah tidak dibawa ke situ pada hari kematiannya 7 Mac lalu kerana hujan lebat.

Masjid itu seperti mana di daerah lain telah meletakkan kain rentang menyatakan pendirian untuk tidak menguruskan jenazah golongan yang menyokong pihak menghina al-Quran.

Pihak polis Jakarta telah memutuskan untuk menurunkan poster sedemikian bagi mengelak kejadian buruk.

Seorang lagi imam masjid di Setiabudi memberitahu The Jakarta Post mengenai adanya masjid berdekatan yang enggan menguruskan jenazah yang juga penyokong Ahok.

Sunengsih, 46, penduduk Setiabudi berkata, ada pihak yang menghalang jemaah menguruskan jenazah ibunya, Hindun kerana telah mengundi calon yang menghina Islam.

"Ibu saya tidak dedahkan dia menyokong Ahok kerana dia tidak tahu apa-apa, ibu saya secara rambang telah mengundinya," katanya.

Tetapi seorang ustaz di situ, Ahmad Syafei menafikan dakwaan keluarga itu dan memaklumkan penduduk setempat telah memandi, kafan dan sembahyangkan jenazah di kediaman keluarga itu.

Katanya, hujan menyebabkan jenazah tidak dapat dibawa ke masjid dan beliau membantu keluarga itu menguruskan pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Menteng Pulo.

Ahok, Setiabudi, Menteng Pulo

Artikel Lain