suria

UAE Kaji Bina Gunung Buatan Manusia Atasi Musim Kemarau

Bolehkah gunung buatan manusia dapat membantu mengatasi krisis air di UAE?

EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) sedang mengkaji untuk membina sebuah gunung besar buatan manusia dalam usaha untuk mendapatkan lebih banyak hujan bagi mengatasi musim kemarau di negara itu.

Suhu tinggi melanda negara Timur Tengah itu sejak beberapa dekad lalu, mengakibatkan air sungai kering, tanaman tidak subur dan harga makanan meningkat.

Bagaimanapun, pakar dari Perbadanan Universiti bagi Penyelidikan Atmosfera yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) ditugaskan untuk mengkaji kesan gunung tiruan yang boleh membantu mendapatkan hujan.

Pasukan pakar memberitahu bahawa gunung buatan manusia itu akan menyebabkan tahap udara meningkat, menghasilkan awan sama ada pembenihan awan atau menukar jumlah hujan.

Kajian pada peringkat awal itu menelan belanja £275,000 (RM1.58 juta), diketuai oleh Pakar Sains Pusat Kebangsaan Penyelidikan Atmosfera, Roelof Bruintjes.

Lokasi untuk membina gunung berkenaan masih belum dikenal pasti.

Bruintjes berkata: "Apa yang kita lihat adalah pada asasnya untuk menilai kesan ke atas cuaca menerusi jenis gunung, berapa tinggi dan bagaimana cerun yang perlu dilakukan.

"Kita akan menyediakan laporan fasa pertana pada musim panas sebagai langkah awal."

Walaupun Bruintjes mengakui penbinaan gunung itu dari awal akan melibatkan kos yang terlalu tinggi, beliau menegaskan bahawa penyelidikan yang dibuat boleh membuka jalan dalam menangani krisis hujan di UAE.

Bruitjes berkata: "Membina sebuah gunung bukan sesuatu yang mudah.

"Jika (projek) terlalu mahal (buat kerajaan), secara logiknya projek ini tidak akan dilaksanakan, tetapi ia memberi idea kepada mereka mengenai apakah alternatif untuk akan datang dalam jangka panjang.

"Jika ia diteruskan, fasa kedua akan melibatkan syarikat kejuruteraan dan memutuskan sama ada ia dapat dilaksanakan atau tidak," katanya. - Mirror

Artikel Lain