suria

Ketua Hakim Negara Dari Asia, Pasifik Berhimpun Di Singapura

SINGAPURA: Mahkamah Agung Singapura menjadi tuan rumah kepada lebih 20 Ketua Hakim Negara dan perwakilan daripada 23 badan kehakiman di rantau Asia dan Pasifik yang berada di republik ini untuk menghadiri Forum Pembaharuan Badan Kehakiman Asia Pasifik (APJRF) ke-5.

Mesyuarat selama dua hari bermula Khamis itu berlangsung di auditorium Mahkamah Agung Singapura.

APJRF, rangkaian 49 mahkamah tinggi dan agensi sektor badan kehakiman di Rantau Asia Pasifik, komited untuk menyokong badan kehakiman Asia Pasifik dalam melaksanakan pembaharuan.

Mesyuarat itu akan membincangkan isu-isu berkaitan pembaharuan badan kehakiman serta meningkatkan keupayaan badan kehakiman menerusi latihan kehakiman dan pendidikan.

Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon berkata: "Mesyuarat ini merupakan peluang keemasan bagi semua anggota APJRF untuk memperbaharui komitmen bagi melakukan pembaharuan terhadap badan kehakiman secara efektif dan bermakna.

"Ia juga menyediakan forum terbaik untuk kami merumuskan program-program bantuan teknikal dan mengeratkan lagi hubungan antara badan kehakiman di rantau Asia Pasifik bagi membolehkan kami belajar antara satu sama lain dan membangunkan amalan terbaik".

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada perasmian APJRF di sini. - BERNAMA

Artikel Lain