suria

AS$46.1 Bilion Diperlukan Untuk Pembangunan Pelabuhan Di Indonesia

JAKARTA: Sejumlah AS$46.112 bilion diperlukan untuk projek pembangunan pelabuhan di Indonesia sehingga tahun 2030, kata Setiausaha Direktorat Jenderal Perhubungan Laut, Kementerian Perhubungan Indonesia, Leon Muhammad.

Daripada jumlah itu, kerajaan hanya dapat menyediakan 31.7 peratus atau AS$14.613 bilion manakala bakinya, AS$31.499 bilion atau 68.3 peratus akan diperoleh daripada pelabur asing.

Projek pembangunan pelabuhan sudah dimulakan pada 2011, yang akan turut menyokong program Pelan Induk Percepatan Perluasan dan Pembangunan Ekonomi Indonesia (MP3EI), katanya di Jakarta, Khamis.

Bagi tempoh 2011-2015, pelaburan untuk projek pembangunan pelabuhan dianggarkan menelan belanja kira-kira AS$12.114 bilion.

"Namun, kerajaan hanya menyediakan 42.5 peratus atau US$5.148 bilion, manakala US$6.966 bilion atau 57.5 peratus adalah daripada pelabur swasta," kata Leon Muhammad.

Kerajaan Indonesia sudah membangunkan beberapa pelabuhan utama di Indonesia, termasuk di Sumatera Utara dan Aceh, di Tanjung Priok dan Tanjung Perak di Jawa, Makassar di Sulawesi Selatan serta Bitung dan Sorong di Papua.

Pada masa ini, Indonesia mempunyai 1,975 pelabuhan, 110 daripadanya ialah pelabuhan komersil yang diuruskan oleh empat syarikat berkaitan kerajaan (BUMN).

Selain itu, terdapat 614 pelabuhan bukan komersil yang turut diuruskan oleh kerajaan serta lebih 800 terminal khusus atau yang didedikasikan sebagai terminal swasta.

Leon Muhammad berkata dalam tempoh lima tahun yang akan datang, sejumlah 26 pelabuhan akan dibangunkan termasuk di Banjarmasin, Pontianak, Batam, Madura, Cilamaya, Palembang, Kuala Tanjung, Panjang, Ambon, Dumai, Teluk Bayur, Makassar, Bitung, Tanjung Emas, Probolinggo dan Balikpapan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain