suria

Susilo Mahu Belia Guna Sumber Intelektual Dengan Berkesan

JAKARTA: Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono berkata beliau menyokong saranan supaya diadakan perubahan paradigma dan perilaku gerakan belia, daripada yang bersifat demonstratif kepada gerakan yang berasaskan intelektualisme dan profesionalisme.

Katanya pemikiran itu sesuai dengan kekuatan yang dimiliki oleh belia, termasuk mahasiswa, iaitu sumber daya intelektual mereka yang boleh digunakan dengan berkesan dalam menyampaikan gagasan yang segar, menjangkau dan profesional.

"Kita ingin negara kita kaya akan paradigma seperti itu, sehingga tidak kering idealisme dan boleh membangunkan diri dengan lebih baik lagi," katanya ketika merasmikan mesyuarat Generasi Muda Forum Komunikasi Putra-Putri Purnawirawan dan Putra-Putri TNI Polri (GM FKPPI) di sini, Jumaat.

Susilo berkata semangat persaudaraan yang dikembangkan oleh GM FKPPI boleh menjadi contoh yang baik kepada masyarakat kerana di era kebebasan dan demokrasi sekarang, semangat ini nampaknya semakin luntur.

Misalnya, kata beliau, pada masa ini telah muncul kembali tindakan kekerasan, tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri, gerakan samseng dan konflik masyarakat.

"Ini sesuatu yang berlebihan dari reformasi yang dijalankan, ini sesuatu yang berlebihan dari cara-cara yang keliru menggunakan kebebasan hak dan individu. "Saya mengajak dan mendorong keluarga besar FKPPI berjuang untuk mengubah keadaan yang tidak baik itu. Yang baik, sokong, kerana itu amanah dan agenda reformasi. Yang ternyata tidak membawa kebaikan setelah 13-14 tahun reformasi berjalan, tentu harus dihentikan dan ubah," katanya.

Beliau mengajak semua pihak untuk memastikan agar segala bentuk hak dan kebebasan digunakan secara yang sepatutnya dan bukannya menggunakan hak dan kebebasan secara berlebihan sehingga negara menjadi tidak aman, tidak tertib, tidak stabil dan mengganggu kehidupan masyarakat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain